KEMPEN Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pastinya dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air dengan aksi berdepan Kyrgyzstan merupakan perlawanan pertama skuad kebangsaan.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis itu dilihat sudah menerima sambutan hangat dengan lebih 4,000 tiket sudah terjual.
Selain sudah tidak sabar untuk melihat aksi Harimau Malaya, mereka pastinya tertarik untuk melihat kebolehan lawan mereka itu yang kini berada di tangga ke-97 dunia.
Struktur fizikal mereka yang amnya lebih hebat berbanding pemain kebangsaan pastinya akan mencuri perhatian dengan orang ramai semestinya mahu menilai pendekatan yang akan diambil pasukan negara.
Malah, tumpuan juga diberikan terhadap negara Asia Tengah tersebut yang mempunyai bekas pemain import Kedah FA, Edgar Bernhardt sebagai salah seorang staf kejurulatihan.
Terdapat dakwaan kononnya salah seorang staf kejurulatihan Kyrgyzstan hadir dari Israel.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan untuk mengalu-alukan kehadiran Kyrgyzstan, tular di media sosial apabila ada pihak mendapati seorang pembantu jurulatih pasukan itu hadir dari Israel.
Menurut maklumat di laman sesawang Wikipedia, individu yang dikenali sebagai Abang Alejek Yahudi itu merupakan seorang petugas pasukan berkenaan.
Kehadirannya itu pastinya akan menimbulkan rasa kurang senang memandangkan serangan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin menimbulkan rasa kemarahan masyarakat global.
Namun, informasi berkenaan jelas ditulis pihak tidak bertanggungjawab yang dengan sengaja menimbulkan persepsi negatif terhadap skuad kendalian Stefan Tarkovic.
Hasil carian di laman sesawang transfermarkt mendapati tiada individu dimaksudkan tersebut.
Berdasarkan hasil carian di laman sesawang transfermarkt, tiada maklumat mengenai individu dimaksudkan itu dengan Kyrgyzstan hanya menggunakan khidmat jurulatih dari negara Asia Tengah dan Eropah.
Igor Kudrenko yang kini memikul peranan sebagai pembantu jurulatih merupakan warganegara Kyrgyzstan sementara seorang lagi pembantu, Karol Prazenica hadir dari Serbia.
Jadi, dakwaan bahawa lawan skuad kebangsaan itu akan membawa seorang penduduk dari negara haram Israel adalah tidak tepat dengan ia hanya disunting untuk mengelirukan pelbagai pihak.
Selain itu, sekali pun perkara itu adalah benar, kerajaan sudah menetapkan bahawa warganegara tersebut akan dihalang untuk memasuki sempadan negara, sekali gus menyangkal dakwaan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram