BAGI mengubati kelukaan setelah tewas dalam aksi final Pestabola Merdeka, skuad kebangsaan pastinya mahu bangkit dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Mereka yang diundi dalam Kumpulan D dilihat mempunyai peluang cerah untuk memastikan kemaraan melihatkan kepada lawan bakal dihadapi.
Tetapi, ketua jurulatih, Kim Pan-gon pastinya tidak mahu terlalu yakin akan kemampuan tersendiri meskipun dia sudah tahu akan kebolehan anak-anak buahnya.
Ujian besar pertama yang bakal dihadapi skuad kebangsaan adalah apabila mereka bakal berdepan Kyrgyzstan dalam aksi pertama kempen kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung pada Khamis itu akan menyaksikan kedua-dua pasukan kembali bertemu selepas kali terakhir berdepan antara satu sama lain adalah pada 2018.
Skuad kebangsaan Kyrgyzstan akan berdepan Harimau Malaya pada Khamis. — Agensi
Aksi persahabatan yang berakhir dengan kemenangan buat negara Asia Tengah itu pastinya menjadi satu suntikan motivasi buat mereka untuk meraih tiga mata penuh.
Di samping itu, kedudukan masing-masing dalam ranking FIFA juga memainkan peranan dengan skuad kebangsaan menduduki tangga ke-137 sementara Kyrgyzstan berada di kedudukan ke-97.
Walaupun statistik tersebut tidak menceritakan kualiti pasukan secara keseluruhan, ia akan menjadi tekanan dari segi mental buat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan sulung.
Malah, kelebihan sekali lagi berpihak kepada skuad kendalian Stefan Tarkovic apabila mereka memiliki bekas import Kedah FA, Edgar Bernhardt dalam barisan kejurulatihan.
Menurut satu perkongsian dalam laman media sosial rasmi pasukan, dia diberikan peranan sebagai pembantu jurulatih pada penghujung Oktober lalu, iaitu tidak lama selepas menamatkan kariernya.
Bernhardt merupakan salah seorang staf kejurulatihan skuad kebangsaan Kyrgyzstan. — Facebook
"Edgar Bernhardt disahkan menyertai staf kejurulatihan skuad kebangsaan Kyrgyzstan di bawah kendalian Stefan Tarkovic dengan diberikan peranan sebagai pembantu.
"Bernhardt yang merupakan seorang pemain tengah kebangsaan mengumpul sebanyak 41 kaps antarabangsa buat pasukan ini. Semoga maju jaya," tulisnya.
Sepanjang kariernya, dia yang kini sudah berusia 37 tahun pernah beraksi di beberapa negara, termasuk Jerman, Finland dan Oman.
Namun, pemain terbabit dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila dia menyertai skuad Sang Kenari pada pertengahan musim 2019.
Bernhardt juga pernah merekodkan satu pencapaian membanggakan ketika beraksi dalam Liga Super dengan dia sempat menjuarai Piala FA pada tahun tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram