Tak sangka cetak gol kemenangan, Isa Raman mahu kekal bersama Sang Penyu musim depan


  • Podium
  • Ahad, 12 Nov 2023

Pasukan kendalian Hairuddin Omar bergelar juara edisi sulung Piala MFL 2023 selepas tewaskan JDT II. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC II (TFC) dinobatkan sebagai juara edisi sulung Piala MFL 2023 selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT II) dengan keputusan 1-0 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan menunjukkan kualiti berbeza apabila hanya merekodkan satu jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.

Pada minit ke-82, TFC membuat pertukaran dengan memasukkan Muhd Isa Raman bagi menambah pemain di bahagian serangan selepas JDT menguasai permainan.

Ternyata pertukaran yang dilakukan oleh Ketua Jurulatih TFC II, Hairuddin Omar berjaya selepas Isa Raman menjadi duri dalam daging buat JDT II dengan memanfaatkan kesilapan pertahanan Harimau Selatan, Aysar Hadi pada penghujung permainan.

WhatsApp Image 2023-11-12 at 10.17.42

Jaringan Isa Raman bantu TFC II julang Piala MFL 2023. — Facebook/MFL

Dengan jaringan Isa Raman itu sekali gus, memberikan kejuaraan buat TFC II dalam perlawanan akhir Piala MFL edisi pertama musim ini.

Ditanya mengenai perasaan selepas menghadiahkan kemenangan kepada Sang Penyu, Isa Raman bersyukur kerana dapat membantu TFC bergelar juara.

"Saya sangat gembira, memang tak sangka dapat jaringkan gol tapi bila nampak peluang tu, saya boleh terjemah," katanya.

Di samping itu, pemain kelahiran itu turut berkongsi kata-kata semangat yang diberikan oleh pengendali TFC, Hairuddin Omar atau mesra dengan panggilan Hai-O sebelum dia memasuki medan perlawanan pada babak kedua.

"Apa yang saya ingat, coach kata, nanti beri 100 peratus dan bila ada peluang untuk menjaringkan gol, gunakan sebaik mungkin untuk membantu pasukan kerana masa itu kami kekurangan pemain," ujarnya.

Melihat kepada prestasi semasa, Isa bagaimanapun sudah bersedia untuk menabur bakti bersama skuad utama TFC selain menghadiahkan gol tersebut kepada keluarganya.

"Insya-Allah kalau coach panggil, saya bersedia untuk bermain bersama skuad senior TFC.

"Saya dedikasikan gol ni kepada semua penyokong TFC terutama kepada isteri dan ibu bapa yang datang memberi sokongan," kongsinya.

Pemain berusia 23 tahun itu turut berkongsikan masa depannya bersama Terengganu untuk musim depan.

"Insya-ALLAH kalau kontrak disambung oleh TFC, saya akan kekal dan jika tiada, saya kena cari kelab lain.

"Setakat ini tiada offer dari mana-mana pasukan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram