KEMENANGAN pastinya disasarkan penyokong Harimau Malaya untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara pasukan negara dengan Kyrgyzstan pada Khamis.
Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu sememangnya dinanti-nantikan melihat kepada prestasi skuad kebangsaan ketika ini.
Meskipun tewas dalam aksi terakhir berdepan Tajikistan, skuad kendalian Kim Pan-gon berada dalam rekod cemerlang dengan beberapa kemenangan direkodkan sepanjang tahun.
Malah, sebahagian penyokong turut berasakan peluang cerah dimiliki Harimau Malaya melihat kepada gaya permainan serta keputusan cemerlang beberapa minggu kebelakangan ini.
Kejayaan untuk meraih keputusan seri berdepan Syria dan China selain kemenangan bersejarah ke atas India merupakan contoh terbaik dalam menceritakan prestasi cemerlang negara.

Persiapan rapi sedang dibuat pasukan negara untuk aksi berdepan Kyrgyzstan pada Khamis ini. — Facebook/FAM
Rekod positif tersebut boleh dianggap sebagai satu suntikan motivasi buat skuad kebangsaan untuk mengumpul tiga mata penuh untuk aksi pembukaan Kumpulan D tidak lama lagi.
Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Jamal Nasir, kemampuan Harimau Malaya dalam meraih kemenangan tidak boleh diramal kerana penilaian sepenuhnya tidak dibuat terhadap Kyrgyzstan.
Tetapi, tiga mata masih boleh berada dalam genggaman buat pasukan negara sekiranya usaha terbaik dipamerkan dalam aksi di hadapan ribuan penyokong Harimau Malaya nanti.
"Kita sendiri pun tidak tahu bagaimana pasukan mereka dan cara serta gaya permainan pasukan itu. Tetapi, kita harap dapat gunakan kelebihan bermain di laman sendiri.
"Bola itu bulat, apa-apa boleh terjadi. Jika kita gunakan strategi yang tepat, bermain di tempat sendiri dan beraksi secara bersungguh-sungguh, insya-ALLAH tiada penghalang buat pasukan negara," katanya kepada Majoriti.

Kali terakhir Harimau Malaya berdepan Kyrgyzstan adalah kira-kira lima tahun lalu.
Kali terakhir Harimau Malaya berdepan Kyrgyzstan adalah pada 2018 dengan skuad kebangsaan ketika itu mengalami kekalahan dalam aksi persahabatan.
Jadi, terdapat kemungkinan Pan-gon akan mencari 'resipi' terbaik untuk menumpaskan lawan mereka tersebut demi meraih permulaan positif dalam kempen kelayakan itu.
Di samping itu, sebilangan penyokong turut berasakan aksi tersebut akan menjadi aksi pemanas badan buat pasukan negara sebelum aksi Piala Asia akan datang.
Namun, bagi Jamal, ia tidak akan lagi menjadi satu medan percubaan buat Harimau Malaya kerana perlawanan terbabit adalah cukup penting bagi mereka.
"Ini bukan lagi satu ujian kerana perlawanan ini adalah aksi pra Piala Dunia yang lebih penting berbanding Piala Asia yang akan bermula pada Januari akan datang.
"Jadi, sekarang, mereka perlu menunjukkan kebolehan masing-masing untuk memastikan pasukan negara dapat menampilkan persembahan lebih baik dalam Piala Asia nanti," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
