PELAN strategik fasa kedua Peta Hala Tuju (Roadmap) F:30 dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk terus memartabatkan taraf bola sepak negara ke arah lebih dinamik.
Pelan strategik 12 tahun itu dilihat sebagai projection untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik susulan kejayaan siri fasa satu yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 di Kuala Lumpur, lapor Stadium Astro.
Jelas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, fasa kedua F:30 itu dirangka bagi melunaskan hasratnya untuk meletakkan asas bagi pasukan kebangsaan menjadi lebih kompetitif menjelang 2030.
“Fasa 2 adalah susulan daripada Fasa 1 yang disasarkan bagi menuju tepat ke destinasi yang diingini.
“Itulah sebabnya fasa 2 pelan hala tuju kami direka untuk memberi tumpuan terhadap Penumbuhan Permainan, Pengembangan Jenama dan Memperkasa Organisasi.
“Walaupun keputusan fasa 1 memberangsangkan, kami tahu adalah mustahil untuk memastikan orang ramai berpuas hati berorientasikan kepada hasil,” katanya pada pelancaran strategik kedua bagi tahun 2023-2036 di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta timbalannya Adam Adli Abd Halim, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth serta Setiausaha Agung AFF Winston Lee antara yang turut hadir ke majlis tersebut.
Susulan kejayaan Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia Doha Januari akan datang, ia menjadi pembukaan kepada perasmian Fasa 2 F:30 tersebut.
Hamidin turut menjelaskan badan induk bola sepak kebangsaan itu tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi akan terus berusaha dalam memastikan struktur asas menjadi tunjang kepada melihat ke arah masa hadapan.
“Sekretariat Agung FAM, dibimbing oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, bekerja tanpa jemu untuk mendokumentasikan semua cadangan dan langkah pembaikan yang bertujuan untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
“Terima kasih YB Hannah Yeoh, kerana sudi bekerjasama dengan semua persatuan sukan kebangsaan dengan melayan kami setaraf, sebagai rakan kongsi, sebagai pemegang kepentingan utama di kementerian.
“Kami berbesar hati kerana Hannah telah menunjukkan minat yang mendalam untuk mengembangkan permainan di peringkat komuniti dan akar umbi, dari mana kami menanam benih masa depan,” kata Hamidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram