MINIT permainan seorang pemain sering menjadi perbalahan dalam kalangan penyokong kerana ramai berfikir bahawa ia adalah salah satu elemen penting untuk mengukur prestasi seseorang tonggak dalam sesebuah pasukan.
Benar, tidak dinafikan minit permainan adalah alat penting untuk mengukur tahap kecemerlangan pemain namun harus diakui ada sahaja bintang bola sepak dalam negara yang tidak berpeluang diturunkan sebagai kesebelasan utama namun kehadirannya memberikan impak.
Bagi pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris, kualiti latihan yang diterima oleh pemain bersama kelab masing-masing serta pendedahannya di peringkat tertinggi adalah faktor seorang pemain boleh membantu menyerlahkan kualiti mereka.
Musim ini sahaja, ada beberapa pemain yang mencuri tumpuan apabila berhasil memberi kesan positif dalam pasukan dengan mencetak jaringan gol walaupun mereka tidak mendapat minit permainan seperti tonggak utama.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain khususnya tonggak yang beraksi di bahagian serangan berhasil menunjukkan ketajaman mereka di hadapan gawang walaupun hanya mengumpul kurang daripada 300 minit permainan;
1) Aliff Izwan Yuslan
Aliff Izwan ketika berkhidmat untuk Selangor FC 2. — Facebook/SelangorFC
Penyerang muda Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan semakin menjadi bualan orang ramai apabila menyumbat gol kemenangan untuk membantu Malaysia menundukkan Laos 2-0 dalam aksi final di Indonesia dengan merangkul kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) pada 2022.
Selepas meledak gol untuk Harimau Muda, pemain berusia 19 tahun itu diserap masuk ke dalam pasukan utama Selangor FC untuk saingan musim 2022 dan akhirnya membuat penampilan pertama bersama Gergasi Merah ketika menentang Kelantan United pada Februari lalu.
Namun, langit tidak selalunya cerah buat Aliff Izwan apabila musim pertamanya bersama skuad utama kendalian Tan Cheng Hoe tidak mendapat peluang seperti yang diidamkannya dan hanya tampil dalam tujuh aksi Liga Super.
Walaupun sekadar mengumpul sebanyak 118:18 minit permainan tapi Aliff Izwan berhasil menggunakan manfaat tersebut dengan sebaiknya dengan mencetak dua jaringan gol untuk Liga Super.
2) Akhyar Rashid
Kurang minit permainan tapi kekal berkualiti adalah perkataan sesuai apabila ingin menggambarkan pemain sayap Harimau Selatan, Akhyar Rashid yang sering mencuri tumpuan dengan meledak jaringan sebagai pemain gantian.
Anak jati Kedah berkenaan sering menjadi wira buat skuad kebangsaan dengan mencetak beberapa jaringan untuk menyelamatkan maruah Harimau Malaya, selain membuktikan dia masih berkualiti untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Selain menyinar bersama Harimau Malaya, pemain berusia 24 tahun itu juga membuka mata orang ramai apabila meledak gol kemenangan ketika perlawanan menentang Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 memihak kepada JDT.
Musim ini, Akhyar hanya mencatatkan 12 penampilan Liga Super dan mengumpul 284:52 minit permainan bersama skuad Harimau Selatan namun tetap berkesempatan menyumbang dua gol.
3) Alif Ikmalrizal
Alif Ikmalrizal ketika meraikan jaringannya ketika menyumbat satu gol menentang Sabah. — Facebook/Penang FC
Penyerang Penang FC, Muhamad Alif Ikmalrizal bukanlah nama popular seperti ubi muda lain seperti Luqman Hakim Shamsudin namun pemain tinggi lampai itu semakin menyinar ketika diberikan peluang buat pertama kali untuk mewakili skuad muda kebangsaan pada kempen Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) Ogos lalu.
Bukan hanya membuktikan kualitinya ketika tugasan antarabangsa namun penyerang berusia 21 tahun itu juga bersinar di peringkat kelab bersama Penang FC apabila dia sering menjaringkan gol meskipun beraksi pada minit-minit akhir permainan.
Minit permainan sebanyak 293:39 menjadi perkara kedua apabila tiga gol peribadi yang diperoleh dalam Liga Super merupakan bukti utama bahawa dia mempunyai kebolehan untuk mengetuai jentera serangan.
Dengan kebolehan Alif Ikmalrizal itu, jangan terkejut jika bekas pemain Perlis United itu bakal menjadi rebutan beberapa kelab Liga Super lain pada musim depan.
Hakimi (kiri) pernah duduk di tangga kedua di belakang Arif Aiman sebagai pemain muda paling bernilai dalam saingan Liga Malaysia 2021. — TFC
4) Hakimi Abdullah
Dengan kelebihan bermain selama 329 minit, lebih sedikit daripada tiga pemain di atas, Hakimi Abdullah mencetak tiga gol peribadi menerusi sembilan penampilan di pentas Liga Super.
Ubi muda Terengganu FC ini pernah menjadi antara pemain muda yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super dua musim sebelum ini.
Bahkan pada 2021, laman Transfermarkt Malaysia mengeluarkan senarai pemain muda paling bernilai dalam saingan Liga Malaysia dan Hakimi menduduki dua tangga teratas di belakang penyerang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi.
Perjalanan pemain berusia 24 tahun ini perlu diperhatikan memandangkan dia mampu untuk meletakkan dirinya dalam senarai pemain muda terbaik di Liga Super bagi tahun-tahun mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram