[VIDEO] Kerana dengki, kelab Peru matikan lampu stadium lepas 'rival' menang liga di laman sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Universitario (jersi 'cream') meraih kejuaraan liga di laman Alianza Lima (jersi biru-putih) — Facebook/Club Universitario de Deportes

MANA-MANA kelab bola sepak, pasti mereka akan mempunyai seteru utama sepanjang kewujudan mereka.

Seteru ini boleh muncul dari pelbagai punca. Lazimnya, ia terhasil kerana kedua-dua pasukan hadir dari kawasan yang sama. Dari situ, muncullah permusuhan setempat yang dipanggil sebagai derby.

Tetapi, seteru juga boleh muncul kerana faktor saingan kompetitif antara dua pasukan. Mungkin kerana terlalu lama saling bersaing untuk mendapatkan kejuaraan, kedua-dua pasukan mula saling membenci dan permusuhan mula tercetus.

Tidak kira apa jua puncanya, ia membuatkan bola sepak sebuah sukan yang indah kerana permusuhan menambahkan rencah kepada sukan paling disukai penduduk bumi ini.

Permusuhan boleh membuatkan mana-mana pasukan lakukan apa sahaja untuk tewaskan seteru mereka. Tapi kalau sudah kalah, apa nak buat?

Inilah yang terjadi di Peru apabila sebuah pasukan tidak dapat menerima hakikat apabila mereka terlepas gelaran kejuaraan liga kepada musuh tradisi mereka.

Alianza Lima menjadi tuan rumah kepada seteru mereka iaitu Universitario dalam perlawanan genting akhir musim di Estadio Alejandro Villanueva.

Akan tetapi, malang buat Alianza Lima apabila mereka kalah 0-2 kepada Universitario. Kekalahan itu sekali gus mengesahkan kejuaraan liga utama Peru buat Universitario.

Sudahlah kalah, musuh memenangi liga di laman mereka sendiri pula. Oleh kerana tidak dapat menerima hakikat, Alianza Lima membuat tindakan luar jangka sebaik saja wisel penamat ditiupkan.

Sebaik saja wisel penamat ditiupkan, pemain Universitario mula untuk meraikan kejayaan mereka, waktu itu juga semua lampu stadium dipadamkan seperti dalam video yang tular di Twitter (X).

Ini bertujuan untuk menghalang pemain-pemain Universitario daripada meraikan kemenangan sambil menutup segala detik manis itu daripada dirakam oleh lensa kamera televisyen yang membuat siaran langsung perlawanan tersebut.

Tindakan penuh hasad dengki ini meraih perhatian dunia kerana ia adalah salah satu cara aneh untuk respons kepada kejayaan seteru anda memenagi liga di laman anda sendiri.

Tapi itulah yang buatkan bola sepak ini begitu indah bukan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram