
PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar amat berterima kasih kepada para pemainnya kerana berjaya membawa pulang Piala MFL ke bumi Darul Iman pada Sabtu.
Jaringan oleh Isa Raman pada penghujung permainan sudah cukup untuk memberikan kejayaan manis buat TFC II ke atas Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kemenangan itu menjadikan TFC II sebagai juara mutlak Piala MFL selepas berjaya menguasai Liga Juara sebelum menang pula perlawanan akhir di Cheras.
Hairuddin yang tidak terikut rentak lawan menggunakan beberapa pemain daripada skuad utama mengatakan kerana pemainlah TFC II berjaya membawa pulang kejayaan.
"Saya harus berterima kasih kepada pemain saya. Mereka memberikan sepenuhnya fokus, mereka bekerja keras sehingga ke penghujung perlawanan.
"Mereka juga tidak mengendur dan tidak down. Saya selalu katakan kepada pemain selagi wisel penamat tidak ditiupkan, kita masih ada peluang untuk buat sesuatu. Alhamdulillah, pada minit akhir kita berjaya cipta peluang dan menjaringkan gol," kata Hairuddin.
Isa meraikan jaringan dengan gaya Jude Bellingham. — Facebook/Terengganu FC II
Menyedari menentang pasukan yang turut menurunkan pemain-pemain dari skuad utama, Hairuddin mahu pemainnya menganggap ia sebagai cabaran dalam usaha menjadi juara.
Kata bekas penyerang kebangsaan itu, dia memberikan amaran kepada pemain supaya jangan pulang selagi belum menang.
"Kalau kita tengok kesebelasan utama JDT II dengan meletakkan Oscar Arribas dan Endrick dos Santos, mereka seperti mahukan gol awal. Tapi di separuh masa pertama, kita berjaya mengekang asakan mereka malah berjaya mencipta beberapa peluang. Cuma di penghujung separuh masa pertama pemain hilang fokus.
"Namun di separuh masa kedua, pemain (telah) bangkit. Saya katakan kepada pemain yang jangan masuk ke dalam bilik persalinan jika mereka tidak menang perlawanan ini. Alhamdulillah, pemain saya berjaya membalas permintaan saya," jelas Hairuddin.
Dengan kejayaan itu, TFC II menjadi juara sulung bagi Piala MFL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram