NEWCASTLE United tewas mengejut kepada pasukan Bournemouth dengan keputusan 0-2 dalam perlawanan pada Ahad di Stadium Vitality, England.
Kekalahan itu menyebabkan para penyokong kecewa dengan prestasi hambar mereka ketika berdepan pasukan lawan.
Berikutan itu, pemain pertahanan Newcastle United, Kieran Trippier bersemuka dengan penyokong yang kecewa dan marah berikutan kekalahan mengejut 0-2.
Menerusi satu perkongsian video di Twitter, selepas tamat perlawanan, pemain kebangsaan England itu dilihat berjalan mendekati peminat Newcastle.
Dalam video itu, Trippier sempat bercakap dengan salah seorang penyokong pasukan tersebut dengan mengatakan sebilangan besar pemain mereka mengalami kecederaan.
"Adakah pemain itu tidak memberikan segala-galanya? Berapa banyak kecederaan yang kita alami?," katanya.
Selepas bercakap dengan peminat, rakan sepasukannya, Joelinton dilihat menenangkannya sambil meninggalkan tempat penyokong itu.
Difahamkan, Newcastle sudah kehilangan 11 pemain kerana kecederaan dan penggantungan menjelang perlawanan itu.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kejadian itu, Trippier berkata, dia mengetahui penyokong kecewa dengan kekalahan itu namun para pemain sudah memberikan yang terbaik.
"Peminat beremosi, mereka telah menempuh perjalanan yang jauh untuk menyaksikan perlawanan ini.
"Saya sempat berbual dengan salah seorang daripada mereka dan mengatakan kami sudah buat yang terbaik.
"Kami tewas dan kami memohon maaf atas keputusan tersebut," jelasnya.
Dalam perlawanan tersebut, Dominic Solanke menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Bournemouth selain menamatkan rekod liga tanpa kalah Newcastle dalam tujuh perlawanan.
Selepas aksi itu, Newcastle jatuh ke tangga ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala Bournemouth berjaya keluar dari zon penyingkiran dengan meraih tiga mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram