PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar mengakui yang persiapan pasukannya menjelang perhitungan dengan Johor Darul Takzim II dalam perlawanan akhir Piala MFL mengalami sedikit kesukaran.
Bakal beraksi untuk menentukan juara sulung saingan liga simpanan-pembangunan ini pada Sabtu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Hairuddin mengakui berdepan masalah kecergasan pemain terutamanya melibatkan pemain utamanya.
Pemain-pemain yang dimaksudkan adalah pertahanan Ubaidullah Shamsul serta penyerang Syahmi Zamri yang sebelum ini dibawa oleh Tomislav Steinbruckner ke Filipina untuk aksi Piala AFC.
Ubaidullah dan Syahmi dibawa oleh skuad utama ke Filipina untuk bertemu Stallion Laguna dengan kemenangan berpihak mereka menerusi keputusan 3-2.
"Dari segi kecederaan, kami tidak mempunyai kecederaan yang serius. Cuma di pihak saya terdapat kerisauan (melibatkan) Ubaidullah dan Syahmi yang baru pulang dari tugasan Piala AFC.
"Saya harap mereka berdua dapat pulihkan kecergasan mereka untuk perlawanan pada Sabtu. Begitu juga dengan Jordan Mintah yang mengadu ada sedikit kecederaan, saya harap untuk perlawanan pada Sabtu dia akan bersedia," kata Hairuddin pada sidang media pra-perlawanan.
Hairuddin Omar dan pengendali JDT II, Mariano Echeverria pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala MFL. — Facebook/MFL
Walaupun terdapat kegusaran terhadap dua pemain utamanya tetapi Hairuddin tetap tenang dalam menghadapi perlawanan ini dan lebih selesa dengan status bukan pilihan.
Dia sedar Harimau Selatan akan sentiasa memberikan segalanya untuk perlawanan akhir, jadi Hairuddin tidak terkejut melihat pemain-pemain dari skuad Liga Super iaitu Shane Lowry dan Endrick dos Santos turut dibawa.
"Di pihak kami perlu bersedia dengan apa saja yang bakal ditempuhi. Di pihak kami, persiapan rapi harus dilakukan.
"Kalau kami nak menang perlawanan akhir ini pada Sabtu, kami tidak perlu terlalu fikirkan tentang keupayaan pasukan lawan, yang penting macam mana kami bersedia untuk hadapi JDT.
"Saya difahamkan mereka akan turunkan beberapa pemain daripada skuad Liga Super, ini adalah satu cabaran yang menarik kepada pemain saya supaya mereka tidak perlu gentar menghadapi mereka," ujar Hairuddin.
TFC II mara ke perlawanan akhir Piala MFL selepas menjadi pemenang Liga Juara sambil JDT II pula sebagai naib juara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram