JDT atau TFC, pilih sebaiknya Azam Azmi


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Azam Azmi merupakan nadi pertahanan Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

SEJAK beberapa musim, nama pertahanan kanan Terengganu FC, Azam Azmi sering menjadi bualan ramai kerana kualitinya.

Dilihat sebagai antara pemain pertahanan kanan berkualiti di negara kita, tidak hairan jika Azam menjadi rebutan pasukan-pasukan utama Liga Super.

Terdapat desas-desus pasukan seperti Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) begitu inginkan pemain ini menjadi sebahagian daripada mereka pada musim depan.

Tetapi Azam boleh kekal sahaja di Terengganu sepanjang kariernya. Dalam analisis Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga sebab mengapa dia perlu kekal bersama Sang Penyu:

1. Sentiasa jadi pilihan

Sebagai seorang pemain, minit permainan amat penting buat mereka dalam usaha menajamkan skil dan kemahiran. Jika lebih kerap beraksi, pastinya pembangunan mereka lebih ampuh.

Jika Azam memilih untuk kekal di Terengganu, dia pasti akan sentiasa menjadi pilihan utama Tomislav Steinbruckner untuk mengisi posisi pertahanan kanan.

393698723_314778557930252_2936082984692982882_n

Azam Azmi dan Suhaimi Husin antara wakil Terengganu dalam Harimau Malaya. — Facebook/Terengganu FC

Berada dalam pasukan yang stabil dari segi prestasi, Azam juga akan tumpang pujian apabila Terengganu berjaya mencapai satu-satu kejayaan. Malah, dia juga lebih mudah bermain bersama-sama skuad kebangsaan kerana sering beraksi dalam Liga Super.

Namun begitu, musuh Azam adalah dirinya sendiri. Jika dia hanyut sehingga prestasinya merudum, Azam berpotensi tidak menjadi pilihan utama Steinbruckner lagi.

2. Tiada masalah luar padang

Jika Azam memilih untuk kekal di Terengganu, ia adalah satu keputusan yang masuk akal kerana skuad Penyu antara sebilangan kecil kelab Liga Malaysia yang stabil dari segi kewangan.

Tiada masalah tunggakan gaji boleh membantu Azam dan pemain Terengganu lain memberikan persembahan cemerlang di padang tanpa perlu fikir masalah lain.

386388931_305191842222257_8982093603104465886_n

Terengganu stabil kerana Tomislav Steinbruckner. — Facebook/Terengganu FC

Terdapat potensi ada tawaran dari pasukan lain akan lebih lumayan dan menggoda Azam. Dalam situasi ini, Azam perlu bijak dalam membuat keputusan.

Mungkin lebih baik kekal di pasukan yang bajetnya rendah tetapi kewangannya stabil berbanding menjanjikan wang lumayan namun sering bermasalah.

3. Status legenda menanti

Seiring masa, Terengganu sentiasa menghasilkan pemain kaliber baik untuk kelab mereka sendiri atau pasukan kebangsaan.

Mereka juga pernah mempunyai beberapa pemain yang sentiasa dikenang kerana mengabdikan karier bersama-sama skuad Penyu.

Mohd Marzuki Yusof antara pemain yang menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama-sama Terengganu sehingga meraih kejayaan Piala FA pada 2011. Begitu juga dengan Ashari Shamsudin si Pembunuh Senyap yang sentiasa dianggap sebagai legenda oleh penyokong Terengganu.

41478486665_AshariSamsudin

Ashari Shamsudin si Pembunuh Senyap merupakan legenda Terengganu. — Agensi

Azam boleh meraih status tersebut jika terus kekal di Terengganu. Sehingga cukup masa, status legenda akan tiba untuk pemain kelahiran Pulau Pinang itu di Gong Badak kelak.

Seperti kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kepada Philippe Coutinho ketika dia hendak meninggalkan The Reds untuk Barcelona, "Kekal di sini dan status akan dibina atas namamu, pergi ke kelab lain tak ubah seperti pemain biasa sahaja."

Pilihan kini di tangan Azam. Pilihlah sebaiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram