Terengganu tak perlu 'salin' pemain import, cuma tingkatkan prestasi mereka


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Ivan Mamut kini cemerlang di depan pintu gol untuk Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

MUSIM Terengganu FC kali ini berjaya diubah daripada 'lemau' kepada lebih baik hasil kepercayaan yang diberikan terhadap Tomislav Steinbruckner.

Daripada pasukan yang berpotensi mempunyai musim yang buruk, Terengganu berjaya mengubahnya hinggakan berhasil mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Dalam pada kebangkitan itu, muncul pendapat yang mengatakan pemain-pemain import skuad Penyu tidak menepati standard yang diperlukan.

Ada yang mahu beberapa pemain disingkirkan dengan harapan pasukan akan mencari bintang import yang baharu. Tetapi menurut seorang penyokong, Adi Hassan, hanya dua nama perlu disingkirkan pengurusan iaitu Omid Nazari dan Adisak Kraisorn.

Kedua-dua nama ini gagal menyerlah walaupun datang dengan reputasi hebat terutamanya Adisak.

400617849_325814750159966_7596178880960313660_n

Norde terlalu gemarkan menggelecek bola sehingga melakukannya secara berlebihan. — Facebook/Terengganu FC

"Untuk Omid dan Adisak mungkin kita perlu cari pemain import lain atau mungkin pengurusan boleh kurangkan pengambilan pemain import," katanya.

Dua nama itu adalah pemain import paling mengecewakan penyokong Terengganu. Namun bagi pemain seperti Ivan Mamut dan Sony Norde, mereka boleh dikekalkan untuk musim depan tetapi perlu dibaiki lagi persembahan mereka.

"Ivan Mamut awal awal dulu payah jugak nak jaringkan gol. Tapi bila kawan kerap hulur ke dia, dia pandai menyudahkan hantaran.

"Sony Norde, pemain import yang sangat hebat menggelecek bola tapi tu la sampai sudah dia nak gelecek. Kalau dia kurangkan gelecekan dan hulur bola kepada rakan sepasukan yang lebih berpeluang rasanya lagi baik," ujar Adi.

Paling penting, pengurusan Terengganu perlu memastikan khidmat Habib Haroon dan Nurillo Tukhtasinov dikekalkan kerana mereka amat berharga bagi pasukan Pantai Timur itu.

"Nurillo Tukhtasinov seorang pemain yang sangat rajin. Atas bawah ada je dia. Cuma cubaan luar kotak penalti dia belum lagi mampu atasi Sanjar Shaakhmedov. Tapi potensi ke arah tu ada. Dia mungkin perlu kerap asah taring semasa latihan.

399243597_325696063505168_6783921216685300066_n

Nurillo dianggap sebagai enjin bahagian tengah Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

"Habib Haroon mungkin pemain import terbaik kita kini. Padu dalam mengawal bahagian kita. Cuma kadang-kadang dia agak selamba je main. Benda ni Steinbruckner boleh tegur dia," ulas Adi.

Daripada apa yang dikatakan, benarlah pemain import Terengganu bukanlah seteruk yang disangka. Mungkin mereka memerlukan rejim latihan yang lebih baik untuk meningkatkan prestasi ketika perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram