SELEPAS mengharungi musim yang sukar, Penang FC akhirnya memilih untuk merehatkan Chong Yee Fatt dan Manzoor Azwira daripada tugas mengemudi Harimau Kumbang.
Keputusan ini diambil oleh pengurusan kelab selepas Penang tumbang di separuh akhir Challenge Cup kepada PDRM FC sekali gus menambah lagi kekecewaan penyokong terhadap kelab.
Dengan tiadanya dua individu tersebut, pengendali skuad Piala MFL Penang iaitu Akmal Rizal diberikan mandat untuk menguruskan pasukan utama secara sementara (caretaker) hingga tamat musim.
Berbaki tiga lagi perlawanan, Akmal tetap mahu mencari keputusan positif kerana dua aksi akan diadakan di laman sendiri. Untuk rekod, Sri Pahang FC dan Terengganu FC akan melawat Stadium Bandaraya, Georgetown sementara Harimau Kumbang akan bertemu Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada hari terakhir liga.
"(Tiga perlawanan itu) bukan perlawanan yang mudah tapi saya akan berusaha untuk pastikan Penang FC mendapat keputusan yang positif terutamanya dua perlawanan di tempat sendiri bertemu Sri Pahang dan Terengganu.
"Dengan JDT perlu gandakan kerja dan usaha bagi mengekang kekuatan yang ada pada mereka," kata Akmal kepada Majoriti.
Akmal turut mengatakan dalam masa yang singkat sebagai pengendali sementara, dia akan berusaha menyelesaikan pertahanan bocor yang membelenggu mereka sambil ketumpulan penyudah penyerang-penyerang Penang FC.
Demi tidak mahu mengecewakan peminat, Akmal mahu kembalikan keyakinan pemain mereka untuk beroleh kemenangan.
"Pasti ada perubahan yang akan saya lakukan terutamanya dari segi sistem dan taktikal pasukan. Saya akan lebih fokuskan cara pasukan akan bertahan dan akan tingkatkan keyakinan para pemain penyerang untuk mencipta dan menghasilkan jaringan," ujar Akmal.
Aksi longlai para pemain Penang mengecewakan penyokong. — Facebook/Penang FC
Memandangkan musim semakin tamat, Akmal merancang untuk memberikan minit-minit berguna kepada pemain skuad Piala MFL Penang di peringkat Liga Super.
Akmal memberikan bayangan akan ada beberapa pemain dari skuad Piala MFL Penang akan dibawa ke skuad utama sebagai salah satu cara menguatkan pasukan namun dia enggan menamakan siapakah pilihannya.
"Saya akan membawa masuk beberapa pemain skuad Piala MFL Penang bagi menambah baik kesebelasan pasukan dan mahu melihat pemain-pemain yang sedia ada bersaing merebut tempat.
"Buat masa sekarang, (nama) pemain dari skuad Piala MFL saya tak dapat nak maklumkan lagi sebab saya nak semuanya bersaing merebut tempat," jelas Akmal.
Melihat kepada kekecewaan penyokong terhadap prestasi Harimau Kumbang, Akmal memandang ia sebagai tanda sayangnya mereka terhadap pasukan.
Akmal berharap penyokong setia Penang akan turun ke stadium bagi menyokong perjuangan mereka dalam tiga aksi terakhir Liga Super.
Penang akan bertemu Sri Pahang pada 26 November diikuti Terengganu (3 Disember) dan JDT (17 Disember). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram