SABAH FC mengharapkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan apabila berdepan wakil dari Vietnam, Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 pada Khamis.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu sudah tentu dinanti-nantikan oleh penyokong Sang Badak untuk memberi sokongan kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Ketika bertandang ke laman lawan pada 25 Oktober lalu, Sang Badak terpaksa pulang ke tanah air dengan kekecewaan selepas tewas dengan keputusan 2-3.
Ketajaman Ramon Machado ditagih untuk mencetak jaringan agar membantu Sabah FC berada di kedudukan teratas Kumpulan H. — Facebook/Sabahfc
Kekalahan berkenaan menyaksikan pasukan Borneo terbabit jatuh ke tangga kedua kumpulan sementara kelab Vietnam itu naik ke kedudukan teratas.
Dalam pada itu, membawa misi balas dendam, Sang Badak bagaimanapun mahu menggunakan peluang bermain di laman sendiri untuk meraih tiga mata penuh bagi mengubah kedudukan semasa Kumpulan H.
Selain memiliki peluang beraksi di hadapan penonton sendiri, The Rhinos dilihat akan menggunakan peluang untuk merobek benteng pertahanan Hai Phong apabila difahamkan salah seorang pertahanan kelab itu tidak dapat beraksi dalam perlawanan penting tersebut.
Menguatkan lagi perkara itu, menerusi satu hantaran wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di X (Twitter) berkongsikan bahawa wakil pasukan Vietnam itu difahamkan akan beraksi tanpa tonggak utama mereka.
"Tonggak pertahanan import Hai Phong FC, Benjamin Patrick Van Meurs hampir pasti disisihkan untuk perlawanan berdepan Sabah apabila dia tidak menyertai sesi latihan pasukan yang berlangsung di Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam (Rabu)," katanya di Twitter,
Dengan ketiadaan pertahanan muda kelahiran Australia itu pastinya memberi sedikit kelebihan untuk Sabah FC melakukan serangan berikutan benteng pertahanan Hai Phong yang sukar ditembusi jika melihat kepada rekod perlawanan lepas.
Sabah FC memerlukan tiga mata penuh untuk kembali ke tangga teratas Kumpulan H, sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat kalah mati Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram