Misi balas dendam tercapai, Sabah kini mula gayat di puncak carta


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Pemain Sabah FC meraikan kemenangan selepas menundukkan Hai Phong di laman sendiri. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC berjaya memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan wakil kelab Vietnam, Hai Phong FC dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan keempat Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 pada Khamis.

Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menyaksikan perlawanan seimbang pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan saling membuat serangan ke arah kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan kelebihan gol awal.

Rentak permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan namun gagal menembusi gawang gol lawan masing-masing berikutan palang menjadi halangan.

Dengan sokongan daripada penyokong yang hadir, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih kelebihan gol selepas pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

WhatsApp Image 2023-11-09 at 22.09.51 (1)

Daniel Ting membuka tirai jaringan perlawanan sekali gus antara pemain yang membantu Sabah tundukkan Hai Phong di Stadium Likas. — Facebook/Sabahfc

Sang Badak yang dilihat lebih dominan dalam separuh masa pertama menambah jaringan pada minit ke-34 selepas Darren Lok berjaya meledak gol kedua untuk Sabah.

Keputusan kekal 2-0 dengan Sabah FC mendahului pada babak pertama sebelum kedua-dua pasukan dilihat memasuki bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, pasukan Hai Phong gagal merobek benteng pertahanan Sang Badak malah The Rhinos dilihat menguasai perlawanan dan tidak mahu menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila Gabriel Peres mencetak jaringan ketiga buat Sabah pada minit ke-70.

Kelonggaran benteng pertahanan Sabah akhirnya memberi mata jaringan kepada Hai Phong apabila Yuri Mamute mencetak gol sagu hati pada minit ke-85.

Pada minit-minit akhir, Sabah FC meninggalkan momen manis dengan mencetak gol kemenangan menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berpuas hati apabila misi balas dendam Sabah dapat diterjemahkan dengan aksi persembahan memukau yang ditampilkan oleh barisan The Rhinos itu.

"Nampaknya Sabah membalas dendam malam ni," CZ Daniel.

"Mantaplah Sabah, misi balas dendam tercapai," kata Azlin Shah.

"Betul-betul balas dendam oh Sabah ni kali, mantap lah," kata Roland Aj.

Sebelum ini, Sabah yang tewas di tangan Hai Phong dengan keputusan 2-3 di laman lawan akhirnya dapat menyempurnakan misi balas dendam mereka di Stadium Likas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram