SABAN musim, adalah perlu pasukan-pasukan kita memberikan persembahan baik apabila menyertai kejohanan Asia.
Musim ini, kita ada tiga wakil iaitu Johor Darul Takzim di Liga Juara-Juara AFC manakala Terengganu FC dan Sabah FC berentap dalam Piala AFC.
Buat masa sekarang, ketiga-tiga pasukan negara belum menunjukkan sebarang penguasaan nyata di peringkat kumpulan. Akan tetapi, setiap kemenangan yang diraih membantu Malaysia dalam ranking MA AFC.
Kemenangan 2-1 JDT terhadap Ulsan Hyundai serta kebangkitan epik 3-2 Terengganu terhadap Stallion Laguna telah membantu Malaysia mendaki carta MA AFC.
Sebelum ini, Malaysia berada di tangga ke-12 carta tersebut dan menjadi kedua terbaik Asia Tenggara selepas Thailand.
Malaysia berjaya pintas Australia dalam ranking MA AFC.
Kemenangan yang diberikan oleh JDT dan Terengganu baru-baru ini telah membantu Malaysia naik ke tangga ke-11 dengan mengumpul 28.674 mata.
Penambahan sebanyak 3.556 mata hasil kerjasama kedua-dua pasukan tersebut telah berjaya membantu Malaysia memintas Australia. Sebagai perbandingan, Australia kini mengutip 28.110 mata walaupun wakil mereka berhasil memberikan 4.000 mata.
Berjaya mendaki satu anak tangga dilihat sebagai satu petanda positif buat Malaysia kerana ia akan memberi kesan kepada jumlah slot bagi wakil negara di kejohanan Asia.
Jika Sabah berjaya menewaskan Hai Phong pada Khamis, penambahan mata boleh berlaku sambil Malaysia dapat merapatkan jurang dengan Iraq yang berada di kedudukan kesepuluh.
Sebagai rekod, Iraq kini mengumpul 33.534 mata. Oleh itu, kelab-kelab Malaysia perlu berusaha lebih keras supaya dapat memintas mereka pula.
Walaupun berlaku peningkatan, tetapi kedudukan slot masih tidak berubah untuk Malaysia. Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai dua slot bermula musim depan dengan satu di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram