Ejen beri isyarat Azam Azmi akan terus setia bersama Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Azam Azmi menjadi buruan pasukan-pasukan utama Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

MUSIM Liga Super untuk tahun 2023 kini semakin tamat. Oleh itu, tidak terkejut jika aktiviti untuk mendapatkan pemain baharu telah dimulakan bagi persediaan musim depan.

Sudah ada pergerakan dari beberapa pasukan untuk mendapatkan pemain baharu. Malah, jurulatih juga sudah mula dilamar oleh sesetengah pasukan untuk mengemudi kelab bagi musim baharu.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengenai masa depan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim. Ada yang mendakwa pemain itu bakal bergerak meninggalkan Gergasi Merah dek kerana prestasi cemerlangnya terutamanya melibatkan pasukan kebangsaan.

Tetapi, spekulasi itu mula reda oleh ejennya di Instagram iaitu joe_berbatov tempoh hari dengan seolah-olah Faisal akan kekal di Selangor.

Joe memuat naik gambar Faisal sedang menandatangani sebuah kontrak namun tidak dapat dipastikan apakah isi kandungannya.

Para penyokong mula meramalkan Faisal menandatangani kontrak lanjutan bersama-sama Selangor untuk menyaksikan pemain itu terus kekal di Kelana Jaya.

Selepas Faisal, Joe kemudiannya memberikan isyarat pemain Terengganu FC, Azam Azmi dijangka kekal bersama-sama pasukan ini.

photo_2023-11-09_12-36-56

Joe memuat naik siaran Azam menandatangi kontrak. — Instagram/@joe_berbatov

Sama seperti Faisal, Joe memuat naik gambar Azam sedang menandatangani sebuah kontrak dengan kapsyen "extended" (dilanjutkan) tertera pada siaran tersebut.

Ini membuatkan penyokong Terengganu tertanya-tanya, adakah Azam akan kekal di Gong Badak atau tidak?

Hal ini kerana, terdapat spekulasi di media sosial mengatakan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 bakal menjadi aksi terakhir Azam bersama-sama Terengganu sebelum berpindah.

Destinasi perpindahan yang menjadi bualan adalah ke Johor Darul Takzim (JDT) untuk aksi musim depan.

Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai masa depan Azam dengan Terengganu, begitu juga Faisal bersama Selangor.

Mungkin dalam masa terdekat, kedua-dua pasukan akan mengumumkan sesuatu berkenaan dua pemain ini di laman rasmi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram