[VIDEO] Subramaniam kongsi detik cemas hampir berlanggar 'motobike' di Kelantan


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Subramaniam (tengah) ketika mewakili Kelantan FC pada 2017. — Agensi

PENYOKONG Kelantan FC pastinya tidak boleh melupakan individu bernama S. Subramaniam yang banyak membantu The Red Warriors (TRW) menjuarai pelbagai kejuaraan sepanjang perkhidmatannya di sana.

Menyertai Kelantan daripada Perak FC pada 2010, Subramaniam atau lebih dikenali dengan panggilan Subra berjaya membantu TRW menjuarai Piala Malaysia 2010, Liga Super 2011 dan antara pemain yang merangkul kejuaraan 'treble' pada 2012.

Pada 2012, Subra mengalami kecederaan lutut (ACL) selepas bertembung dengan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 yang memaksanya untuk berehat selama enam bulan.

Meskipun mengalami kecederaan lutut, ia tidak menghalang minat Johor Darul Takzim (JDT) untuk membawanya ke Selatan tanah air pada musim 2014.

Kali terakhir Subra aktif bermain bola sepak pada 2022 bersama Petaling Jaya City FC sebelum pasukan itu dibubarkan selepas tidak mampu bersaing dalam Liga Malaysia untuk musim ini.

JOHOR BAHRU, 7 Ogos -- Pemain JDT Muhamad Safawi Rasid (dua, kanan) cuba melepasi kekangan pemain PJ City FC Mohd Aizulridzwan Razali dan Subramaniam Sooryapparad pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini.Kedudukan separuh masa pertama JDT 1-0 PJ CITY FC.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kali terakhir Subramaniam aktif bermain bersama PJ City pada musim lalu.

Bukan sahaja mempunyai detik-detik indah menjuarai pelbagai trofi domestik bersama Kelantan, Subra turut berkongsi pengalaman nyaris terlibat dalam kemalangan dengan penyokong atas kesalahan dirinya sendiri.

Berkongsi perkara itu dalam program Astro Arena, Bola itu Life yang dikendalikan oleh Faiz Gurun dan Keeshmatstats.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pernah satu ketika dia sedang memandu dan menukar lorong sebelum secara tiba-tiba seorang penunggang motosikal nyaris menjadi mangsa kemalangan.

"Saya pernah bawa kereta, belakang saya ada satu 'motobike' sangat laju.

"Keadaan jalan ketika itu ada dua cabang, masa itu saya bagi signal untuk belok kanan, selepas itu Hairuddin cakap Subra kiri.

"Jadi saya tak sempat nak bagi signal, terus masuk kiri, 'motobike' yang belakang tadi dia pula marah saya sebab nyaris kena langgar," katanya dalam Bola itu Life.

Kelantan FA 2012

Pemain-pemain Kelantan FC pada 2012. Facebook/Kelantan FA

Tambahnya lagi, selepas insiden tersebut penunggang itu kelihatan sangat marah dan memberhentikan kenderaan sebelum memohon maaf selepas melihat wajah-wajah invididu yang berada dalam kereta bersama Subra.

"Waktu itu dah nak kena langgar, saya tengok dekat cermin sisi habislah saya kenalah ini.

"Turun cermin, dia (penunggang) nampak muka Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad, Hairuddin Omar dan Subra terus dia minta maaf.

"Dia kata, boss minta maaf salah saya (penunggang), sedangkan waktu itu memang saya yang salah," jelasnya.

Untuk info, Subra, Indra Putram Nor Farhan dan Hairuddin Omar pernah beraksi bersama pada 2010. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram