'KPG pasti ada perancangan tertentu panggil Sumareh sertai Harimau Malaya'


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

Nama Sumareh menjadi pertikaian penyokong Malaysia apabila dipanggil Kim Pan-gon. — Facebook/FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah memanggil 26 pemain untuk ke kem latihan pusat menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.

November ini, Pan-gon dan Harimau Malaya akan menentang Republik Krgyz dan Chinese Taipei pada 16 dan 21 November ini.

Dengan panggilan kali ini, pelbagai reaksi ditonjolkan penyokong dengan pertikaian terarah terhadap pemain Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohamadou Sumareh.

Sumareh yang tidak dipanggil sebelum ini kembali ke Harimau Malaya walaupun minit permainannya kurang di peringkat kelab dan ia tidak disenangi rata-rata penyokong.

Bagi penganalisis sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, dia yakin pasti ada asasnya kenapa Pan-gon memanggil pemain tersebut.

"Pastinya wujud persoalan tentang pemilihan pemain tersebut. Siapa pun yang Pan-gon pasti ada saja yang tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.

"Adakah dia ada percaturan tertentu untuk digunakan mengikut strategi yang dirancang. Atau mungkin juga sekadar memenuhi tuntutan tertentu? Apa pun persoalannya hanya Pan-gon yang boleh jawab hal itu," kata Pekan kepada Majoriti.

Corak panggilan ini sudah kelihatan menerusi Sumareh dan pemain Sri Pahang FC iaitu Shamie Iszuan. Penyokong lazimnya akan mempersoal dua nama ini jika Pan-gon memanggil mereka.

sumareh2

Sumareh meraikan jaringannya menentang Indonesia di Jakarta. — Facebook/FAM

Melihat kepada situasi Syafiq Ahmad yang terus disisihkan, Pekan berpendapat namanya masih lagi boleh dimasukkan dalam skuad Piala Asia 2023. Buat masa sekarang, Pan-gon mempunyai banyak pilihan untuk penyerang.

"Masih ada peluang buat Syafiq, dia masih bagus. Jika dia tidak bagus pasti JDT dah sisihkan dia terus. Cuma mungkin Pan Gon sudah ada banyak pilihan kali ini.

"Saya percaya pintu Harimau Malaya belum tertutup untuk Syafiq. Siapa tahu dia mungkin pilihan Pan-gon untuk Piala Asia tahun depan," komen Pekan.

Secara keseluruhannya, Pekan berasa skuad yang dipanggil oleh Pan-gon kali ini adalah yang terbaik dapat dihimpunkan pengendali itu untuk Harimau Malaya.

Apa yang perlu dilakukan penyokong adalah percaya kepada Pan-gon dengan harapan kemenangan akan tiba buat Malaysia.

"Kita perlu percaya dan meletak kepercayaan dan berikan sokongan padu kepada pemain-pemain yang terpilih ini.

"Jangan kacau-kacau sangat atau persoalkan pemilihan yang dibuat oleh Pan Gon ini, kita pun bukanlah pandai sangat," pesan Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram