PERJALANAN musim Terengganu FC diteruskan dengan skuad Penyu terbang ke Manila, Filipina bagi tugasan Piala AFC pada Rabu.
Selepas berjaya mengesahkan tempat di perlawanan akhir Piala Malaysia, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner masih ada misi untuk diselesaikan.
Memandangkan tempat ke Piala AFC belum stabil, mereka perlu memastikan setiap kemenangan diraih bermula dengan menewaskan Stallion Laguna di gelanggang mereka.
Ia diikuti dengan menumbangkan Bali United di Gong Badak serta cuba mencuri mata ketika bertemu Central Coast Mariners dekat Australia kelak.
Akan tetapi, kemenangan di Filipina amat penting. Hal ini kerana, Keputusan seri 2-2 yang diraih ketika perlawanan diadakan di Gong Badak telah menyukarkan perjalanan Terengganu untuk sahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Gagal meraih kemenangan di laman sendiri sudah pasti perlu ditebus dengan tiga mata diraih dekat tempat lawan. Akan tetapi, terdapat sesuatu yang tidak kena dengan perjalanan Terengganu ke Manila.
Dalam siaran laman Facebook Terengganu, mereka menyiarkan pasukan sedang dalam perjalanan ke Manila. Akan tetapi, terdapat beberapa muka yang tidak kelihatan. Antaranya adalah Ivan Mamut, Syahmi Zamri serta Liridon Krasniqi.
Ketiadaan mereka menimbulkan kerisauan penyokong, adakah Steinbruckner tergamak meninggalkan penyerang berbisa mereka dalam perlawanan penting seperti ini?
"Ivan Mamut mana?," soal penyokong bernama Aliff Tranung.
"Ivan Mamut? Syahmi Zamri?," tanya Azfar Anas.
"Kelibat Omid Nazari dan Liridon Krasniqi tidak kelihatan," kata Abdullah Marudin.
Ketiadaan wajah-wajah pemain ini merisaukan penyokong Terengganu sampaikan ada yang berasakan mereka diterbangkan menaiki pesawat berlainan.
"Liridon dengan Mamut naik kapal terbang lain ke?," tanya Fendzy Affendy.
"(Mamut) naik pesawat peribadi," kata Ahmad Muzanni.
Mamut merupakan wira Terengganu apabila menjaringkan dua gol ketika separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Kuala Lumpur City FC.
Terengganu dan Stallion Laguna akan beraksi pada Rabu dengan sepak mula diadakan pada pukul 4 petang waktu Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram