
WAKIL dari Itali, AC Milan meraih kemenangan pertama mereka dalam Liga Juara-juara UEFA (UCL) setelah menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) di laman sendiri pada Rabu.
Selepas ketinggalan seawal minit kesembilan, skuad I Rossoneri kembali bangkit menerusi gol Rafael Leao dan Olivier Giroud untuk memastikan mata penting dapat diraih.
Bagaimanapun, perlawanan terbabit dihujani momen cukup menarik dalam kalangan penyokong gergasi dari Itali itu sebelum sepak mula diambil.
Kepulangan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma ke Stadium San Siro, Milan sememangnya tidak dialu-alukan selepas pemain tersebut bertindak meninggalkan tanah airnya pada 2021.
Perpindahan tersebut juga dimeterai tanpa melibatkan sebarang yuran perpindahan apabila penjaga gawang tersebut enggan menyambung kontrak bersama AC Milan.
Keputusan tersebut sememangnya tidak digemari penyokong kelab tersebut dengan mereka berasakan Donnarumma dengan sengaja mengkhianati pasukan Itali itu.
Mbappe loves moneypic.twitter.com/FG7pVF4kL6
— Troll Football (@TrollFootball) November 7, 2023
Jadi, sebelum perlawanan dimulakan, kumpulan ultras AC Milan, Curva Sud bertindak membaling duit palsu ke atas padang berhampiran kawasan gol menempatkan penjaga gol berusia 24 tahun terbabit.
Donnarumma kemudiannya dilihat sibuk mengumpul kepingan wang yang bertebaran dengan usaha objek asing itu tidak akan mengganggu fokusnya sepanjang permainan.
Namun, situasi melucukan berjaya dirakam apabila bintang PSG, Kylian Mbappe mampu tergelak ketika melihat rakan sepasukannya tersebut sibuk sebelum wisel ditiupkan.
Meskipun tidak memberikan sebarang komen mengenainya, pemain antarabangsa Perancis itu boleh dikatakan tertarik dengan sikap dan semangat dipamerkan penyokong AC Milan.
Kekalahan berkenaan sekali gus menyebabkan kesemua empat pasukan dalam Kumpulan F UCL 2023/24 masih berpeluang untuk memastikan kemaraan ke peringkat kalah mati.
PSG selepas ini menerima kunjungan pasukan tercorot, Newcastle United sementara AC Milan akan berdepan kelab Jerman, Borussia Dortmund dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 29 November nanti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram