Casemiro setuju legenda Real Madrid suka 'mengacau' jadi pengurus Man United, itu pun jika Ten Hag angkat kaki


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Casemiro (kiri) dan ten Hag memainkan peranan cukup penting buat skuad The Red Devils sejak tiba awal musim lepas. — Agensi

PENYINGKIRAN Manchester United daripada saingan Piala Liga di pusingan 16 pasukan memberi tekanan cukup besar buat pengurus kelab, Erik ten Hag.

Prestasi tidak menentu sejak awal musim menyaksikan skuad The Red Devils berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 10 perlawanan.

Masalah turut dirasai di pentas Eropah apabila pasukan berkenaan berada di kedudukan ketiga Kumpulan A Liga Juara-juara UEFA (UCL) setakat ini.

Jadi, penyingkiran memalukan mereka daripada saingan Piala Liga di tangan Newcastle United hanya memberi lebih tekanan buat pengurus kelahiran Belanda itu.

Meskipun sudah berbelanja dengan besar ketika jendela perpindahan lalu, kegagalannya untuk menyuntik nafas baharu buat Manchester United meningkatkan kemungkinan bahawa dia akan digugurkan pada bila-bila sahaja.

skysports-man-utd-manchester-united_6344771

Man United gagal mempertahankan kejuaraan Piala Liga yang diraih musim lalu. Agensi

Namun, hasrat tersebut pastinya sukar memandangkan tiada pengurus ternama ketika ini terbuka untuk memegang jawatan itu melihat kepada situasi semasa kelab.

Bagaimanapun, terdapat kisah di sebaliknya apabila laporan tidak rasmi mengatakan badan pengurusan Manchester United tertarik untuk mendapatkan bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane.

Selepas kali terakhir mengendalikan skuad Los Blancos, pengurus kelahiran Perancis tersebut tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun beberapa tawaran sudah dibuat.

Oleh itu, keberadaannya pasti akan menarik minat Manchester United sekiranya ten Hag memilih untuk meninggalkan skuad The Red Devils pada masa terdekat.

Idea tersebut turut disokong tonggak pasukan, Casemiro yang pernah menimba pengalaman di bawah Zidane ketika kedua-dua mereka masih berada di Real Madrid.

skysports-real-madrid-zinedine-zidane_4321569

Zidane mencipta nama selepas membantu Real Madrid menjulang tiga kejuaraan UCL berturut-turut. — Agensi

Dalam satu sesi temu bual, pemain antarabangsa Brazil tersebut mengatakan dia amat terbuka dengan kehadiran pengurus berusia 51 tahun berkenaan.

"Zidane merupakan seorang yang mahukan lebih daripada anak-anak buahnya. Dia sering memesan kepada saya bahawa dia tahu bahawa saya boleh melakukan sesuatu lebih baik.

"Tetapi Zizou (Zidane) merupakan seorang yang amat 'mengacau' kerana dia sering berborak dengan saya dan mahukan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Sepanjang menjadi seorang pengurus, Zidane pernah meraih beberapa pencapaian menakjubkan, termasuk membantu Real Madrid menjulang tiga UCL berturut-turut.

Namun, perbalahan dengan pihak pengurusan kelab Sepanyol berkenaan menyaksikannya enggan mengikat kontrak jangka masa panjang meskipun didesak pelbagai pihak.

Dia sebelum ini pernah dikaitkan dengan jawatan pengurus di Paris Saint-Germain (PSG), namun menolaknya atas alasan peribadi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram