[VIDEO] Teruskan tradisi tak jabat tangan pengurus lawan, pengurus Atletico enggan berpura-pura


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Tangkap layar ketika Simeone hampir tidak ingin menyalam pengurus Celtic, Rodgers selepas aksi UCL.

KETUA jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mendapat kritikan hangat daripada penyokong bola sepak susulan dilihat kurang semangat kesukanan apabila dia hampir tidak ingin menyalam pengurus Celtic, Brendan Rodgers selepas aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Wakil dari Scotland itu meraih mata pertama UCL musim 2023/24 pada Rabu menerusi penyerang dari Jepun, Kyogo Furuhashi dan Luis Palma tetapi kembali disamakan Antoine Griezmann dan Alvaro Morata.

Pemain Atletico, Rodrigo De Paul dibuang padang pada lewat perlawanan tetapi Celtic gagal memanfaatkan tambahan masa lapan minit sekali gus peluang untuk mara daripada Kumpulan E nampak tipis.

Selepas wisel penamat berbunyi, Simeone seakan-akan tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan berkenaan sehingga pengendali dari Argentina itu hampir menepis jabat tangan Rodgers sebelum berjalan terus ke terowong.

Selepas video tular memaparkan sikap kurang profesional Simeone, sebahagian penyokong yang menyaksikan insiden tersebut menyatakan bahawa pengendali pasukan dari Sepanyol itu kurang semangat kesukanan.

celtoc

Griezmann ketika menjaringkan gol untuk pasukannya. Agensi

Namun, hakikatnya ia bukan kali pertama Simeone membuat tingkah laku sedemikian rupa kerana sebelum ini dia juga pernah mengelak daripada berjabat tangan dengan Jurgen Klopp dan sebaliknya melencong ke terowong.

Kejadian yang dialami pengendali The Reds itu berlaku pada 2021 selepas Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2 di Wanda Metropolitano, Madrid, Sepanyol dalam saingan Kumpulan B kejohanan UCL.

Seminggu selepas kejadian menentang Liverpool itu, Simeone akhirnya menjelaskan bahawa dia tidak berminat untuk berjabat tangan dengan pengurus lawan selepas perlawanan kerana berpendapat bahawa ia adalah "kepalsuan".

"Saya tidak suka sapaan selepas perlawanan kerana ia adalah emosi dua pihak. Saya tahu di UK (United Kingdom) ia adalah adat tetapi saya tidak membuat perkara itu dan saya tidak suka kerana ia adalah kepalsuan ataupun kepura-puraan dari dua pihak.

“Saya tidak mengenali Klopp sebagai seorang yang sangat baik tetapi saya tahu dia seorang jurulatih yang hebat yang telah melakukan kerja yang hebat di setiap kelab yang pernah dikendalinya," kata Simeone pada 2021. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram