[VIDEO] Trik licik Garnacho rupanya kunci kemenangan Man United ke atas Copenhagen


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Garnacho pastinya disanjung penyokong The Red Devils atas sumbangan kecilnya pada penghujung perlawanan itu. — Agensi

PERLAWANAN cukup menarik disaksikan dalam saingan Liga Juara-juara UEFA (UCL) antara Manchester United dan kelab Denmark, Copenhagen di Stadium Old Trafford, England pada awal pagi Rabu.

Percubaan demi percubaan daripada kedua-dua pasukan dilihat tidak membuahkan hasil dengan mereka terikat memasuki penghujung permainan.

Namun, pada minit ke-72, bek tengah skuad The Red Devils, Harry Maguire muncul hero apabila menanduk masuk hantaran lintang Christian Eriksen, sekali gus menang tipis 1-0.

Jaringan berkenaan diikuti sorakan meriah daripada penyokong tuan rumah memandangkan pemain antarabangsa England itu menjadi bahan kritikan utama sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, gol tersebut juga memberi peluang buat anak-anak buah Erik ten Hag untuk membawa pulang mata pertama dalam saingan UCL 2023/24 setelah tewas dalam dua aksi pembukaan.

Bagaimanapun, Manchester United berdepan detik cemas pada penghujung perlawanan apabila Copenhagen diberikan penalti akibat kekasaran dilakukan pemain tengah, Scott McTominay.

Meskipun pengadil pada awalnya tidak yakin dengan keputusan itu, semakan menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan tindakan berkenaan.

Tetapi, pemenang UCL sebanyak tiga kali itu masih boleh tersenyum pada penghujung perlawanan apabila penjaga gol mereka, Andre Onana mudah menepis sepakan Jordan Larsson pada masa kecederaan.

Sumbangan berkenaan sekali gus menyaksikan penyokong Manchester United mula menjulang nama pemain antarabangsa Cameroon itu yang memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

fbl-eur-c1-man-utd-copenhagen-213410_3579616_20231025071511

Pujian harus diberikan kepada Maguire (kiri) dan Onana (tengah) yang menjadi wira buat Manchester United. — Agensi

Namun, di sebalik momen penting Onana itu, orang ramai mendapati pemain sayap The Red Devils, Alejandro Garnacho juga memainkan peranan tersendiri.

Berdasarkan rakaman, pemain kelahiran Argentina tersebut dilihat merosakkan kawasan tendangan penalti yang menyukarkan lawan untuk melakukan tendangan dengan kemas.

Trik itu sememangnya cukup dikenali dalam dunia bola sepak dengan pendekatan demikian sering dikritik kerana hanya akan menjejaskan reputasi seseorang.

Meskipun Larsson tidak tergelincir, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap cara sepakannya sehingga ia memberi ruang buat Onana melakukan tepisan.

Kemenangan berkenaan sekali gus membantu Manchester United menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata sudah dikumpul daripada tiga perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram