KELAB English Premier League (EPL), Manchester United sekali lagi terpalit dengan isu luar padang.
Ibarat drama swasta yang tidak pernah berakhir, selepas isu melibatkan Jadon Sancho dan Erik ten Hag, kini timbul kontroversi melibatkan penyerang muda mereka iaitu Alejandro Garnacho.
Pemain Argentina itu baru-baru ini terpalit dengan kesilapan sendiri selepas menyiarkan gambar rakan sepasukan iaitu Andre Onana di akaun media sosialnya.
Garnacho menyiarkan gambar Onana sambil meletakkan emoji gorila di dalamnya. Dia kemudiannya memadam hantaran tersebut selepas menyedari perbuatan tersebut bakal mengundang tuduhan dirinya berlaku rasis terhadap Onana.
Gambar yang dimuat naik oleh Garnacho di laman Twitter (X), ia kemudiannya telah dipadamkan. — Twitter (X)/@agarnacho7
Akan tetapi, tindakan tersebut telah disedari oleh pihak FA England walaupun hantaran yang dilakukan oleh Garnacho itu telah dipadamkan.
Badan induk bola sepak England itu telah menghubungi Garnacho dengan tindakan dijangka akan diambil terhadap pemain tersebut.
Sebagai konteks, gambar tersebut disiarkan oleh Garnacho untuk sebagai penghargaan penjaga gol tersebut menyelamatkan sepakan penalti minit akhir ketika United bertemu FC Copenhagen dalam perlawanan UEFA Champions League (UCL).
Namun begitu, Onana tampil mempertahan rakan sepasukannya itu dengan dia mendakwa dirinya tidak tersinggung dengan apa dikatakan oleh Garnacho.
"Orang tak boleh pilih terhadap perkara apa yang saya perlu terasa.
"Saya tahu apa yang Garnacho maksudkan, (iaitu) kuasa dan kekuatan. Perkara ini tidak sepatutnya diperbesarkan," kata Onana di Instagramnya.
Onana mempertahankan Garnacho di laman Instagramnya. — Instagram/@andreonana.24
United akhirnya memenangi perlawanan UCL mereka musim ini selepas menewaskan Copenhagen 1-0 di Old Trafford hasil jaringan Harry Maguire.
Kemenangan itu memberikan peluang untuk United cuba melepaskan diri ke pusingan seterusnya walaupun sebelum ini telah tumpas dua perlawanan awal kepada Bayern Munich dan Galatasaray. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram