Rashford 'bengang' khabar angin masa depannya di Man United kian samar


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

Ketumpulan Rashford di hadapan pintu gol menyebabkan Manchester United bergelut untuk menjaringkan lebih banyak gol. — Agensi

PRESTASI penyerang Manchester United, Marcus Rashford musim ini adalah di tahap begitu mengecewakan apabila dia hanya menjaringkan satu gol dalam kesemua pertandingan.

Gol yang terhasil ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal pada September lalu merupakan satu-satunya sumbangan bermakna daripada pemain antarabangsa England terbabit.

Ketandusan jaringan tersebut menyaksikannya terus dikritik peminat skuad The Red Devils yang berasakannya perlu membuat sesuatu bagi memperbaiki persembahannya.

Antara desakan yang diberikan terhadap pemain berusia 26 tahun itu adalah dengan mengharapkan agar dia mencari angin baharu dalam kariernya.

Ia turut dikuatkan lagi dengan laporan baru-baru ini yang mengatakan penyerang berkenaan sedang berdepan hukuman disiplin kerana mengadakan sebuah parti selepas kekalahan dengan seteru terdekat, Manchester City baru-baru ini.

Pandangan yang mahukannya meninggalkan kelab itu turut disokong pengguna Twitter, The United Stand yang tampil sanggup menghasilkan sebuah video yang mengatakan masa depannya bersama Manchester United sudah semakin malap.

WhatsApp Image 2023-11-07 at 18.56.16

Komen ringkas diberikan Rashford kepada dakwaan mengenai situasinya di kelab tersebut.

Seperti dijangkakan, ciapan terbabit berjaya mencuri perhatian ramai dengan akaun terbabit sememangnya cukup terkenal dalam kalangan peminat EPL di seluruh dunia.

Bagaimanapun, hantaran tersebut mengundang padah apabila Rashford hadir mempertahankan dirinya menerusi satu komen ringkas terhadap The United Stand.

"Tolong berhenti daripada memuat naik khabar angin yang tidak dipastikan," tulis penyerang terbabit.

Respons berkenaan sememangnya menjadi satu isyarat bahawa Rashford komited dengan masa depannya bersama skuad The Red Devils yang cukup tumpul di bahagian serangan.

Dalam 11 aksi EPL Manchester United, mereka hanya menjaringkan 12 gol dengan catatan tersebut merupakan rekod tercorot dalam kalangan 10 pasukan teratas liga.

Mereka yang kini berada di tangga kelapan pastinya mahu mencari solusi segera terhadap masalah tersebut sekiranya mahu merampas slot ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2024/25. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram