KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari, mengakui pasukannya perlu melakukan usaha berganda untuk mengatasi Ulsan Hyundai dalam perlawanan keempat Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
JDT hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan, yang mana mereka tewas 1-3 kepada Ulsan di gelanggang lawan dalam aksi terakhir pada Oktober lalu.
Menurut Solari, barisan pemain Harimau Selatan mampu menguasai hampir keseluruhan permainan tetapi ia gagal diterjemahkan dalam bentuk tiga mata, lapor Stadium Astro.
Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Astro Arena pada Isnin, jurulatih kelahiran Argentina itu berkata: "Ia merupakan perlawanan keempat kami dalam kejohanan ini.
"Esok (Selasa) kami akan berdepan juara Korea Selatan dan pasukan kami kini sedang bermotivasi penuh dan sedang fokus.
"Kami sedar betapa pentingnya perlawanan keempat ini dan setakat ini, kami sudah merasai pahit manis dalam saingan ini.
"Saya fikir kami mendominasi hampir keseluruhan permainan tetapi tidak mendapat mata yang kami mahukan dalam kejohanan ini.
"Jadi, kami memerlukan usaha berganda esok dan kami akan memberikannya kerana pasukan ini sedang bermotivasi.
"Pemain tahu setiap daripada mereka perlu melakukan sesuatu yang lebih baik, terutama bagaimana untuk menghadapi beberapa minit pertama dalam permainan.
"Kerana kami sedar Ulsan memiliki pemain yang hebat dengan mentaliti yang bagus, jadi kami perlu menghadapi mereka.
"Semua orang mahu menunjukkan yang kami sudah bersedia untuk kejohanan ini," katanya.
Solari (tengah) dan Forestieri (kanan) dalam sidang media perlawanan JDT dan Ulsan pada Isnin. — Facebook/JDT
Dalam pada itu, penyerang JDT, Fernando Forestieri, menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatihnya, Esteban Solari, untuk menentukan kesebelasan terbaik menjelang aksi keempat Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Forestieri diletakkan di bangku pemain simpanan ketika JDT tewas 1-3 kepada Ulsan di gelanggang lawan hujung minggu lalu tetapi kemasukkannya pada awal separuh masa kedua meningkatkan keamatan permainan Harimau Selatan sebelum Bergson da Silva merapatkan jurang pada minit ke-53.
Ramai berpandangan Forestieri sepatutnya diletakkan sebagai barisan pemula pasukan selatan tanah air itu menjelang pertemuan kedua malam esok (Selasa) tetapi pemain berusia 33 tahun itu meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada rencana taktikal jurulatihnya, Solari.
"Ia keputusan jurulatih.
"Sebelum ini saya diletakkan di bangku pemain simpanan dan saya kemudian dimasukkan untuk membantu pasukan.
"Tidak kira sama ada esok saya akan bermula sebagai kesebelasan utama atau diletakkan sebagai pemain gantian, apa yang penting adalah kami membantu sesama sendiri dan saya perlu membantu rakan sepasukan saya, itu perkara terpenting untuk diri saya.
"Ayuh lihat apa yang akan berlaku esok kerana saya bukan jurulatih," jelasnya.
JDT kini menduduki tangga ketiga kumpulan I dengan tiga mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua, Ulsan, dan enam mata di belakang pendahulu, Kawasaki Frontale. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram