Pernah terbenam di bawah liga, keputusan Pahang guna khidmat 'orang lama' ternyata berbaloi


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Dollah (kanan) menjadi pengurus pasukan sementara bekas rakan sepasukannya, Fandi Ahmad bergelar ketua jurulatih skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC

SALAH seorang figura penting buat skuad Tok Gajah musim ini ialah pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh yang sudah cukup sebati bersama kelab berkenaan.

Dia yang dilantik bagi bergandingan bersama bekas rakan sepasukan, Fandi Ahmad boleh dianggap sebagai rencah untuk membantu Sri Pahang FC berada dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super.

Meskipun tidak banyak memberi pengaruh terhadap taktikal permainan, karakternya yang menghiburkan membuatnya sukar ditolak pemain serta penyokong kelab tersebut.

Antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai personalitinya adalah ketika dia dilihat menari bersama penyerang pasukan, Kpah Sherman selepas kemenangan mereka ke atas Terengganu FC.

Jadi, kehadirannya sahaja boleh dianggap sebagai satu elemen penting buat pasukan dengan dia memainkan peranan tersendiri untuk mencipta keharmonian antara pemain dan barisan kejurulatihan.

WhatsApp Image 2023-11-08 at 13.54.16

Dollah Salleh memiliki personaliti tersendiri dalam kalangan penyokong Tok Gajah.

Namun, sekiranya ditanya rata-rata penyokong skuad Tok Gajah, mereka pastinya lebih tertarik untuk menceritakan kebolehan Dollah yang pernah menjadi salah seorang jurulatih tempatan terbaik.

Ia dapat disaksikan ketika dia pertama kali dilantik bagi mengemudi Pahang FA pada 2010 memikul tanggungjawab itu dengan baik apabila menamatkan penantian pasukan untuk menjuarai Piala Malaysia tiga tahun kemudian.

Selepas itu, anak jati Melaka itu ditawarkan untuk mengendalikan skuad kebangsaan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melihat Dollah sebagai calon paling sesuai.

Bagaimanapun, kesukaran untuk bersaing di peringkat antarabangsa menyaksikannya menarik diri selepas kecaman begitu teruk daripada penyokong bola sepak tempatan.

Situasi tersebut sedikit sebanyak memberi tamparan hebat terhadap karier kejurulatihan Dollah dengan reputasinya kian tercalar di dada akhbar.

WhatsApp Image 2023-11-08 at 13.55.55

Kehadiran Dollah membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala FA lima tahun lalu.

Tetapi, ia tidak menghalang skuad Tok Gajah untuk kembali menaruh kepercayaan terhadapnya apabila mereka menawarkan jawatan pengendali pasukan buatnya pada November 2016.

Keputusan berkenaan dibuat bagi menggantikan Razip Ismail yang hanya membawa skuad Tok Gajah ke tangga kesembilan Liga Super.

Langkah tersebut sememangnya membuahkan hasil seperti mana dimahukan apabila kelab Pantai Timur itu kemudiannya menduduki tangga kedua liga pada 2017.

Malah, dia turut sempat memperbaiki reputasinya selepas membantu Pahang FA muncul sebagai juara Piala FA 2018 dengan ia merupakan kejuaraan terakhir buat mereka sehingga hari ini.

Dollah kemudiannya beberapa kali dilantik sebagai jurulatih sementara kelab meskipun sentuhannya tidak memberikan hasil seperti mana diharapkan penyokong.

Namun, meskipun berdepan pelbagai kritikan, keputusan pihak pengurusan untuk terus memberi kepercayaan terhadapnya sehingga boleh dianggap sebagai satu cara mereka untuk membalas sumbangannya.

Kini, dengan Dollah diberikan peranan sebagai pengurus pasukan, dia dilihat memikul peranan berkenaan cukup baik, lebih-lebih lagi apabila dia berpeluang bergandingan bersama Fandi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram