Jangan terkejut andai 3 bintang senior kembali berada di bawah radar Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Pan-gon sering membuat perubahan terhadap skuad dipanggilnya berdasarkan lawan yang bakal dihadapi. — Facebook/FAM

BAGI memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan langkah kanan, beberapa perubahan mula diambil pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Berdasarkan senarai 25 pemain untuk aksi berdepan Krygyzstan dan Chinese Taipei, skuad kebangsaan memilih untuk membawa nama-nama yang sudah lama tidak diberikan peluang.

Duo Johor Darul Takzim (JDT), Mohamadou Sumareh dan Afiq Fazail merupakan antara yang kembali diletakkan dalam senarai selepas masing-masing sudah tidak lama beraksi buat Harimau Malaya.

Selain itu, beberapa perubahan turut disaksikan dalam skuad bersedia untuk dua perlawanan berkenaan dengan keputusan Pan-gon boleh disifatkan cukup menarik.

399040685_1040056240400945_8445373675360931029_n

Beberapa pemain membuat kepulangan ke dalam skuad Harimau Malaya. Facebook/FAM

Kehadiran bintang senior Harimau Selatan, Natxo Insa dan pemain sayap Terengganu FC, Nor Hakim Hassan sememangnya mencuri perhatian dengan kedua-dua mereka dianggap sudah berada di penghujung karier.

Namun, peranan dan kebolehan masing-masing menjadi satu bentuk penilaian buat Pan-gon yang melihat pemain itu mempunyai ciri-ciri yang boleh dicurahkan buat Harimau Malaya.

Jadi, keputusan berkenaan menepis tanggapan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu hanya memilih ubi-ubi muda tanpa memerlukan pemain senior dalam skuad mereka.

Pendekatan tersebut juga boleh menjadi hujah bahawa terdapat kemungkinan akan lebih banyak pemain diberikan peluang, termasuk mereka yang sudah tidak lama beraksi buat skuad kebangsaan.

Melihat kepada senario Liga Super 2023, terdapat tiga nama 'otai' yang dijangka bakal kembali menyarung jersi Harimau Malaya meskipun sudah bertahun-tahun tidak mewakili negara.

1. Wan Zack Haikal Wan Noor (Perak FC)

Setelah bertahun-tahun bergelut dengan isu kecederaan, Wan Zack Haikal Wan Noor sekali lagi mencetak namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik.

Meskipun catatan jaringannya tidaklah begitu cemerlang, pemain kelahiran Maran, Kelantan itu meningkatkan statusnya dengan persembahan lengkap baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Ia dapat disaksikan ketika kemaraan bergaya skuad The Bos Gaurus (TBG) ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia walaupun berdepan lawan lebih berkualiti.

1981060

Wan Zack kembali mencipta nama bersama skuad TBG musim ini. Facebook/Perak FC

Sumbangannya yang amat bertenaga turut diiktiraf pihak profesional apabila namanya tersenarai sebagai calon Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 dalam kategori pemain tengah terbaik.

Jika Wan Zack dapat meneruskan prestasi itu sehingga musim depan, terdapat kemungkinan bekas pemain Ryukyu FC itu akan diberikan peluang oleh Pan-gon.

Berdasarkan rekod lampau, pemain berusia 32 berkenaan hanya mengumpul 20 kaps antarabangsa dengan kali terakhir dia diberi peluang adalah pada 2018 ketika berdepan Fiji.

Perlawanan persahabatan berdepan lawan lebih lemah boleh menjadi platform terbaik buat Wan Zack kembali bersama Harimau Malaya buat sekali lagi.

2. Fadhli Shas (Sri Pahang FC)

Setelah berkali-kali dipinjamkan daripada JDT, Fadhli Shas kembali mencipta statusnya sebagai antara bek tengah terbaik dalam kalangan pemain pertahanan senior musim ini.

Keputusannya untuk menyertai Sri Pahang FC pada awalnya dipersoalkan memandangkan kelab Pantai Timur itu mengalami satu tahun yang mengecewakan pada 2022.

Bagaimanapun, Fadhli tampil menjadi watak utama buat skuad Tok Gajah dengan persembahan cukup konsisten sepanjang musim bagi membantu pasukannya itu.

Setakat ini, kelab berkenaan mempunyai rekod pertahanan ketiga terbaik dalam Liga Super apabila hanya dibolosi sebanyak 25 kali dalam 22 perlawanan.

fade_1691738365

Fadhli (kiri) kembali memperbaiki reputasinya bersama skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Catatan terbabit pastinya sukar dicapai skuad kendalian Fandi Ahmad sekiranya mereka tidak memberi peluang buat Fadhli untuk turun lebih kerap.

Jika Pan-gon mahu seorang yang mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi, bek tengah berusia 32 tahun tersebut boleh menjadi seorang calon terbaik.

Panggilan ke dalam skuad kebangsaan akan membantu Fadhli menambah jumlah penampilannya dalam pasukan negara selepas kali terakhir diturunkan adalah pada 2018.

Bagaimanapun, dengan lambakan bek tengah muda yang lebih sesuai, adakah Pan-gon akan memberikan peluang buatnya yang berusia dan tidak sesuai dalam gaya permainannya?

3. Syazwan Zainon (Kelantan United)

Meskipun kurang disanjung, peminat setia bola sepak tanah air pastinya sukar melupakan prestasi menakjubkan Syazwan Zainon yang pernah menjadi watak utama ketika saingan Piala AFF 2016.

Ia kemudiannya menjadi satu-satunya momen terbaik pemain versatil terbabit dalam pasukan negara apabila dia bergelut untuk mendapatkan peluang selepas itu.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada beraksi dengan baik di peringkat kelab bersama beberapa kelab Liga Super, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC.

2af865d287afc1408488a74551ad4237

Syazwan (tengah) pernah menjadi watak utama buat negara kira-kira tujuh tahun lalu. Facebook/FAM

Kini, memasuki usia 33 tahun, Syazwan kembali membuktikan namanya sebagai salah seorang bintang dalam skuad Kelantan United yang cukup malap sepanjang musim.

Dua gol dan tiga bantuan jaringan dalam 17 penampilan Liga Super boleh dianggap satu pulangan berbaloi bagi seorang pemain berusia.

Meskipun peluangnya untuk kembali beraksi buat Harimau Malaya terus tipis, anak jati Perlis terbabit pastinya terbuka untuk menerima panggilan pada masa akan datang.

Tetapi, situasi Syazwan adalah sama seperti Fadhli Shas memandangkan Pan-gon kini memiliki pilihan cukup baik untuk beraksi sebagai pemain sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram