PELUANG cerah masih terhidang buat Terengganu FC untuk memastikan kelayakan ke peringkat seterusnya meskipun hanya meraih satu kemenangan dalam tiga aksi pertama Kumpulan G Piala AFC.
Mereka yang menduduki tangga kedua dengan catatan lima mata hanya dibezakan satu mata berbanding pendahulu, Central Coast Mariners.
Jadi, bagi memastikan peluang untuk mara terus cerah, skuad Sang Penyu perlu memanfaatkan aksi berdepan pasukan tercorot, Stallion Laguna pada Rabu.
Pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan menyaksikan masing-masing hanya berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 26 Oktober lalu.
Oleh itu, kegagalan untuk mencatatkan kemenangan pastinya menjadi pengajaran buat pasukan Liga Super tersebut dalam misi mereka memburu tiga mata penuh di tempat lawan.
Tomislav pastinya mengharapkan persembahan terbaik daripada skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, bagi pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner, ujian besar terpaksa dihadapi anak-anak buahnya memandangkan mereka jarang beraksi di atas rumput buatan.
"Kami sudah membuat analisis terhadap beberapa perlawanan pihak lawan kami dan boleh saya katakan mereka bukanlah satu lawan yang mudah, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih tiga mata.
"Tetapi, satu-satunya hal yang merisaukan saya adalah mengenai padang kerana saya sendiri sudah lupa sekiranya kami pernah berlatih atau bermain di atas rumput tiruan," katanya.
Setakat ini, Stallion Laguna masih belum meraih sebarang kemenangan dengan dua kekalahan cukup memalukan dialami kelab Filipina berkenaan.
Bermain di laman sendiri juga tidak menjadi satu kelebihan buat mereka yang tewas kepada Bali United 2-5 dalam aksi pembukaan Kumpulan G, 20 September lalu.
Keputusan seri 2-2 dicatatkan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu. — Facebook/Terengganu FC
Sekiranya Terengganu FC mampu mengambil peluang dengan meraih tiga mata, peluang untuk layak secara pendahulu atau naib juara akan lebih cerah.
Tambah Tomislav lagi, pasukannya mempunyai lambakan pemain berkualiti yang mampu turun bagi mengisi kekosongan ditinggalkan beberapa tonggak yang cedera.
"Walaupun berdepan masalah kecederaan, kami memiliki nama-nama yang saya percaya boleh membuktikan kebolehan masing-masing.
"Dalam aksi Liga Super berdepan Sri Pahang FC 29 Oktober lalu, saya menurunkan lapan wajah baharu yang memberikan segalanya untuk membantu pasukan. Itulah kekuatan dan keazaman kami," katanya.
Antara yang difahamkan bakal terlepas aksi di Stadium Bola Sepak Binan, Filipina ialah bek kiri Sang Penyu, Alif Zakaria setelah mengalami kecederaan buku lali baru-baru ini. — The Star/K M BOOPATHY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram