Norizam tepis dakwaan Alfredo Vera akan tinggalkan TRW


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Alfredo Vera (kanan) dilantik bagi membantu memperbaiki musim mengecewakan skuad TRW dalam Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEHADIRAN Alfredo Vera sebagai pengendali Kelantan FC memberi satu suntikan berbeza buat kelab berkenaan pada awalnya dengan gaya permainan cukup bertenaga daripada anak-anak buahnya.

Kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC merupakan satu bukti mengenai sentuhannya yang berhasil dengan ia memberi satu berita gembira buat penyokong.

Bagaimanapun, selepas itu, Kelantan FC terus berada dalam prestasi amat memalukan dengan beberapa keputusan sukar diterima seperti kekalahan 2-11 kepada Selangor FC dan 0-10 kepada Johor Darul Takzim.

Tetapi, bagi penyokong kelab berkenaan, mereka memilih untuk tidak menyalahkannya atas situasi tersebut memandangkan dia terpaksa menurunkan pemain muda daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23).

Selain itu, kemelut dalaman dihadapi skuad The Red Warriors (TRW) juga menjadi cabaran buatnya dengan ia diangkat sebagai sebab buat ramai pihak terus memberinya masa dan ruang untuk menjalankan tugas.

Namun, baru-baru ini, timbul satu spekulasi mengatakan Kelantan FC bakal kehilangan khidmat beberapa jurulatih termasuk jurulatih dari Argentina tersebut berdasarkan satu ciapan laman penyokong di akaun Twitter Berita Bola Kelantan.

379786550_884285706765022_1897451999860116292_n-700x700

Alfredo Vera memikul satu tugasan cukup berat bersama Kelantan FC musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

"Khabarnya pemilik berjaya 'mendapatkan' dana untuk terus bernafas di saingan Liga Super musim hadapan. Namun, kepincangan pasukan masih belum selesai dengan 'kehilangan' barisan kejurulatihan #Trw2023," tulisnya walaupun tidak menyatakan nama Alfredo.

Hantaran berkenaan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyokong Kelantan FC yang bertanya-tanya sekiranya terdapat isu dalaman belum diselesaikan.

Jadi, untuk mendapatkan kepastian, Majoriti menghubungi pemilik kelab, Norizam Tukiman untuk menjawab segala spekulasi yang timbul.

"Alfredo tu hanya pulang ke Indonesia untuk melawat keluarganya, selepas itu dia akan pulang dan bersama pasukan dalam masa terdekat," katanya ringkas.

Norizam, atau lebih dikenali sebagai Zamburger turut mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan kepastian dan tidak terlalu mudah mempercayai dakwaan di media sosial.

Selain itu, dia turut mengakui sedikit terkejut apabila menerima khabar angin berkenaan kerana baru sahaja berhubung dengan jurulatih berkenaan pada Isnin lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram