Kedah dan KL City 'gentleman', macam mana pula dengan Kelantan?


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Norizam Tukiman masih belum memberi sebarang perkembangan mengenai situasi terkini TRW. — Facebook/TRW

DARI awal musim sehingga perlawanan Liga Super berbaki tiga perlawanan lagi, masalah dalaman yang menimpa Kelantan FC masih tidak menemui titik nokhtah walaupun sudah pelbagai aduan dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kelantan FC sebelum ini sudah menerima surat daripada badan bola induk bola sepak dunia itu susulan beberapa isu termasuklah membabitkan bekas pemain dan bekas jurulatih pasukan Choi Moon-sik yang membawa kes ke FIFA untuk tindakan lanjut.

Difahamkan dalam surat itu memaklumkan arahan hukuman sekatan perpindahan dan pendaftaran pemain baharu pada jendela perpindahan kedua seperti pemain Aliakbar Ahmadi (Iran), Dennis Buschening (Thailand), Ahmed Magdy (Mesir) dan Alie Sesay (Sierra Leone).

Susulan sekatan pemain dari FIFA itu dan masalah tunggakan gaji yang tidak berkesudahan itu, skuad The Red Warriors (TRW) juga menghadapi tiga isu utama sehingga ia difahamkan menjadi punca utama prestasi kelab berpangkalan Pantai Timur itu kian merosot.

TRW MAIN

TRW kini menghuni kedudukan terakhir liga selepas mengharungi 22 perlawanan. — Facebook/TRW

Baru-baru ini menerusi Instagram seorang pemain muda Kelantan, tiga masalah sedang dihadapi pasukan kendalian Alfredo Vera itu ialah tiada air, padang latihan dan pasukan itu dikhabarkan tidak mempunyai pemain yang cukup untuk meneruskan perjuangan saki baki liga.

Meskipun isu Kelantan kelihatan semakin parah namun pihak pengurusan hanya mampu memberi omong kosong dan menabur janji-janji manis namun pada akhirnya ia sekadar bagai melepaskan batuk di tangga dek tiada satu tindakan rasmi dilakukan mereka.

Berbeza pula dengan situasi dengan dua kelab Liga Super lain iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang tampil membuat sidang media rasmi dan mendedahkan tindakan yang sudah mereka lakukan demi selesaikan isu gaji.

Berikut dua tindakan sudah dilakukan oleh Sang Kenari dan skuad Warga Kota yang mana berkemungkinan boleh menjadi ikutan untuk Kelantan FC sekiranya mereka ingin mengambil tindakan dan mengubah nasib;

1) Sanggup lepaskan saham

kedah main

Mohd Daud (tengah) pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Ahad.

Pada penghujung Oktober lalu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan bahawa Sang Kenari sedang mengalami masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos lalu.

Mohd Daud bagaimanapun menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa ada pihak penaja menarik diri sehingga menegaskan bahawa disebabkan 'mismatch' antara pendapatan dan perbelanjaan di mana ketika ini jumlah perbelanjaan pasukan itu setiap bulan melebihi daripada pendapatan yang diperoleh.

Berikutan masalah itu, Daud Bakar juga sedia menawarkan saham syarikatnya dan tidak menafikan bahawa dirinya sanggup melepaskan kelab sekiranya mendapat tawaran yang berpatutan bagi membantu menyelamatkan pasukan Sang Kenari.

“Ya, kalau ada tawaran yang berpatutan dan boleh menampung segala kos dan dengan syarat kami sebagai lembaga pengarah kena berhati-hati. Tanggungjawab ini bukan kerana kewangan semata-mata. Kalau syarikat kami boleh jual kepada sesiapa.

“Syarikat ada kepentingan untuk negeri dan negara. Ia mencerminkan tentang sesuatu kawasan. Bola sepak adalah wajah kepada sesebuah negeri. Pemilik baharu perlu lihat bahawa ya wang itu penting, tetapi membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi dengan cara Kedah yang tersendiri,” jelasnya memetik sidang media yang dibuat KDA FC.

2) Sanggup buat pinjaman peribadi

main kl

Khalid (tengah) ketika menjelaskan keadaan terkini yang dihadapi skuad Warga Kota.

Demi membantu KL City FC menyelesaikan isu gaji, dua individu penting pihak pengurusan skuad Warga Kota iaitu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard terpaksa mengeluarkan wang sendiri.

“Saya punya pinjaman peribadi hampir RM300,000 untuk kelab ini dan Stanley pun mungkin dalam jumlah tersebut. Jaminan pinjaman yang kami beri untuk 'personal guarantee' sebanyak RM2 juta. Itu untuk dapatkan tempoh pinjaman, untuk tempoh bayaran pinjaman itu lama.

“Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000. Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan.

“Kita komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih dua bulan,” katanya ketika sidang media di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menceritakan bahawa masalah kurang mendapat dana dan pihak penaja utama iaitu Rinani Group Berhad (Rinani) disahkan sudah menarik diri daripada menjadi pelabur utama naib juara Piala AFC 2022 itu.

Khalid bagaimanapun menepis dakwaan tunggakan gaji selama empat bulan itu dan menyatakan selama dua bulan sahaja para pemain skuad Warga Kota menerima layanan sebegitu rupa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram