BEKAS penyerang sayap Kelantan FC, Natanael Siringoringo memutuskan untuk pulang ke Indonesia selepas menamatkan kontraknya bersama skuad The Red Warriors (TRW) berikutan masalah gaji yang dihadapi bekas pasukannya itu.
Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran beberapa kelab Malaysia dan Thailand namun Natanael akhirnya memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PS Barito Putera.
Natanael secara rasminya diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Laskar Antasari pada Ahad lalu, yang mana pasukan itu berharap kehadiran penyerang sayap itu dapat memperkasakan lagi bahagian serangan Barito Putera bagi pusingan kedua Liga 1 Indonesia.
Pada pusingan pertama, skuad Laskar Antasari menduduki tangga ketujuh dalam kedudukan Liga 1 Indonesia musim 2023/24 dengan kutipan 25 mata selepas merekodkan enam kemenangan, tujuh seri dan lima kekalahan.
Natanael ketika diumum menjadi sebahagian Barito Putera. — Instagram/Natanael
Memetik laporan portal Indonesia, Moots, pemain kelahiran Medan itu mengiktiraf PS Barito Putera sebagai antara pasukan besar di saingan Liga 1 Indonesia dan mengakui keputusannya menyertainya adalah kerana pengendali kelab, Rahmad Darmawan.
Di Barito Putera, Natanael akan beraksi bersama tiga bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) iaitu Carli de Murga (Johor Darul Takzim), Makan Konate (Terengganu FC) dan bekas bek tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Renan Alves.
Natanael diramalkan akan membuat penampilan sulung bersama Barito Putera pada perlawanan menentang Persebaya Surabaya pada 9 November ini.
Bersama TRW musim ini, Natanael merupakan antara arkitek penting buat skuad kendalian Alfredo Vera apabila dia merekodkan tiga jaringan dan dua bantuan gol dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram