Berjaya dengan Lion City Sailors, Pol Corpas tak tolak sertai Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Bersama LCS, Pol dilantik sebagai analisis, penolong jurulatih B-21 serta ketua analisis akademi LCS.

PENYOKONG Kelantan pastinya tidak akan melupai individu bernama Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar selepas kehebatan gandingannya bersama Rezal Zambery memimpin The Red Warriors (TRW) pada musim lalu.

Jika Liga Malaysia (Liga M) mempunyai Johor Darul Takzim (JDT) sebagai lambang pemodenan bola sepak Malaysia, Liga Singapura turut berbangga dengan kemunculan pasukan Lion City Sailors (LCS) yang menjadi penanda aras kebangkitan Kota Singa itu.

Lion City Sailors antara pasukan terbaik yang serba-serbi lengkap dari segi fasiliti, pusat latihan serta skuad yang terbaik dalam Liga Singapura ketika ini.

Pol Corpas (1)

Pol berjaya membantu skuad muda LCS mendapat tempat ketiga dalam Liga Singapura B-21 baru-baru ini.

LCS yang mahu memperkasakan skuad muda telah bertindak melamar Pol sebagai analisis, penolong jurulatih B-21 serta ketua analisis akademi LCS.

Selepas mengharungi keadaan sukar bersama TRW, Pol akhirnya boleh berbangga dengan kariernya selaku jurulatih selepas berjaya membantu LCS B-21 mendapat tempat ketiga dalam Liga B-21 Singapura baru-baru ini.

"Sudah enam bulan saya menyertai LCS, setakat ini semuanya positif selepas saya berjaya membantu skuad B-21 mendapat tempat ketiga dalam Liga Singapura B-21.

"Tetapi apa yang paling penting, pemain-pemain muda ini sudah mula mendapat tempat bersama pasukan utama sekali gus menunjukkan ada peningkatan prestasi terhadap mereka.

"Tiada rahsia kejayaan selain yang boleh saya kongsikan selain daripada konsistensi, merendah diri dan bekerja keras setiap hari," katanya kepada Majoriti.

Rezal Zambery

Pol (kanan) dan Rezal (kiri) antara individu penting buat Kelantan musim lalu. — Facebook/TRW

Tambahnya lagi, pengalaman bersama Kelantan FC serta bekerja dengan pelbagai jurulatih sebelum ini banyak membantunya menjadi lebih baik untuk membentuk pemain-pemain muda LCS.

"Ya, budaya bola sepak Kelantan sama dengan Singapura, ia sedikit sebanyak banyak membantu saya untuk menyesuaikan keadaan di sini (Singapura) dan bekerjasama dengan para pemain.

"Saya juga boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dan ia banyak membantu saya memahami pemain-pemain muda LCS.

"Mentor saya dalam bidang kejurulatihan ialah Jordi Freixa, jurulatih pertama saya bekerjasama di Afrika, tetapi selepas itu saya juga berpeluang bekerja dengan pelbagai latar belakang jurulatih seperti Rezal Zambery Yahya, Choi Moon-sik, Frank Bernhardt dan Marco Ragini," jelasnya.

Kelantan

Pol turut menjadi mangsa tunggakan gaji bersama Kelantan FC. — Facebook/TRW

Bercakap mengenai Kelantan, Pol turut mendedahkan perkembangan terbaharu dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan memberikan pandangan situasi semasa Kelantan yang dilihat semakin teruk.

"Semuanya dalam keadaan baik, FIFA sudah memberikan jalan penyelesaian kepada Kelantan dan kini saya masih menunggu maklum balas dari pihak pengurusan TRW untuk tindakan selanjutnya.

"Melihat situasi semasa Kelantan saya harap isu pasukan tersebut akan mula diselesaikan segera, sekali gus ia memberikan sinar buat penyokong-penyokong TRW serta kegemilangan bola sepak mereka," luahnya.

Pol Corpas (2)

Pol menganalisa perlawanan LCS B-21 ketika menentang Korea Selatan baru-baru ini di Johor.

Dalam pada itu, Pol juga tidak menolak untuk kembali ke Malaysia sama ada berkhidmat buat pasukan negara ataupun kelab-kelab dalam Liga Super satu hari nanti.

"Perjalanan saya masih terlalu awal, saya harap satu hari nanti saya akan kembali ke kancah bola sepak Malaysia.

"Tidak kisah sama ada kelab ataupun skuad kebangsaan, tetapi untuk sekarang, saya masih ada kontrak dengan LCS, dan saya gembira dengan kerja saya serta cara layanan pasukan ini terhadap saya.

"Kini saya hanya mahu fokus untuk melakukan yang terbaik buat LCS di Singapura," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram