Bobie tepis mentah-mentah khabar angin Perak buru penyerang Pantai Timur


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Bobie tampil menepis khabar angin yang tidak berasas mengenai pasukannya baru-baru ini.

MASALAH ketumpulan jentera serangan merupakan isu yang terus membelenggu skuad The Bos Gaurus (TBG) musim ini selepas mereka hanya menjaringkan 25 gol dalam 23 aksi Liga Super.

Walaupun sudah berkali-kali cuba untuk menyelesaikan perkara itu dengan mendapatkan penyerang import, mereka masih bergelut dalam aspek tersebut.

Penyerang kelahiran Nigeria, Christian Obiozor yang dibawa masuk pada awal musim lalu jelas mengecewakan buat kelab Utara tanah air itu apabila dia hanya menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA.

Mereka kemudiannya memilih untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan mendapatkan bekas pemain Melaka United, Luka Milunovic ketika jendela perpindahan kedua Liga Super.

Hatrik yang dijaringkannya ketika berdepan Kelantan FC 28 Oktober lalu dilihat tidak mengangkat reputasinya dalam kalangan penyokong skuad TBG.

2363351

Luka bukanlah penyelesaian terbaik untuk isu ketumpulan jentera serangan skuad TBG. Facebook/Perak FC

Jadi, untuk menyelesaikan masalah itu, sebilangan peminat Perak FC mula menaruh harapan buat pihak pengurusan kelab bagi mendapatkan seorang penyerang berkualiti ketika jendela perpindahan akan datang.

Antara nama yang mula dipetik ialah tonggak Kelantan United, Ismahel Akinade seperti mana dipetik peminat bola sepak tanah air, Jay Thai di laman Facebook Perak 4 Ever.

"Dikhabarkan Ismail Akinade akan menyertai Perak FC pada musim 2024," tulisnya sambil menyertakan sekeping foto pemain kelahiran Nigeria terbabit.

Hantaran tersebut jelas mencuri perhatian ramai memandangkan penyerang tinggi lampai tersebut pernah diangkat sebagai antara import terbaik Liga Super ketika bersama skuad The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, ura-ura itu segera ditepis apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin tampil memberi komen.

2167999

Ismaheel bergelut untuk mempamerkan kebolehan sebenarnya bersama skuad Kijang Hijau. Facebook/Kelantan United FC

"Yang buat posting ni memang sengaja nak mati masuk neraka agaknya, suka betul tulis cerita ikut suka sendiri," tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

Sebelum ini, Jay Thai pernah mengatakan bahawa ketua jurulatih skuad TBG, Yusri Che Lah turut dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan kelab itu.

Ia turut menerima perhatian Bobie yang tidak mahu peminat pasukan berkenaan terus mempercayai tuduhan dan hantaran yang dibuatnya.

Sepanjang berada bersama dua kelab Pantai Timur itu, Ismaheel tampil menjadi wira pasukan dengan meraih tujuh gol dan lima bantuan jaringan dalam 17 penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, sejak menyertai skuad Kijang Hijau pertengahan musim lalu, pemain berusia 29 tahun berkenaan jelas bergelut untuk membantu membaiki prestasi pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram