[VIDEO] 'Mengalir air mata', legenda treble Kelantan kongsi kekalahan paling perit dalam karier


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Beberapa legenda tanah air memainkan peranan tersendiri untuk membantu skuad TRW menjulang pelbagai kejayaan dari 2011 sehingga 2013.

SEBELUM kehadiran Johor Darul Takzim (JDT) pada 2012, beberapa kelab pernah berada di kemuncak Liga Super dengan masing-masing mudah mendominasi bola sepak domestik.

Antara yang pernah menikmati tempoh berkenaan ialah Kelantan FA yang mengumumkan kehadiran mereka pada 2010 setelah muncul sebagai juara Piala Malaysia ketika berada di bawah kendalian mendiang B Sathianathan.

Bagaimanapun, ia hanyalah permulaan buat zaman kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) apabila kemegahan mereka hadir pada dua tahun berikutnya.

Dari 2011 sehingga 2012, pasukan Pantai Timur itu cukup digeruni pihak lawan memandangkan pasukan tersebut cukup lengkap baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Lima kejuaraan yang dijulang sepanjang dua musim berkenaan menjadi bukti bahawa Kelantan FA berada di kemuncak sehingga cengkaman mereka sukar dipertikaikan.

Tetapi, bagi penyokong Kelantan FA, kejayaan bergaya tersebut dicemari dengan kekalahan sukar dilupakan ketika aksi final Piala FA 2011 kepada seteru Pantai Timur, Terengganu FA.

2058971

Zairul merupakan salah seorang tonggak utama ketika zaman kegemilangan Kelantan FA.

Setelah berada di depan pada minit ke-79 menerusi jaringan cantik Nurul Azwan Roya, skuad TRW dilihat sudah semakin hampir untuk merasai kemanisan bermakna.

Namun, cita-cita berkenaan tidak kesampaian apabila pada masa kecederaan, bek tengah Kelantan FA, Daudsu Jamaludin secara tidak sengaja meletakkan bola ke dalam gawang sendiri.

Lebih menyakitkan lagi, skuad kendalian Datuk M Karathu itu tewas pada minit akhir apabila skuad Sang Penyu meraih gol lewat menerusi Ahmad Nordin Alias.

Kekalahan tersebut sememangnya amat mengecewakan dengan bekas pemain Kelantan FA, Zairul Fitree Ishak turut mengakui ia merupakan keputusan paling menyedihkan.

"Perlawanan paling sedih adalah ketika kami berdepan Terengganu FA dalam final Piala FA 2011 yang mana orang ramai terus mengecam Daudsu kerana gol sendiri.

"Ia kerana perlawanan hanya berbaki 12 saat dan kita terlepas gol tersebut. Akhirnya, kita pun kalah 1-2 dalam aksi tersebut. Memang mengalir air mata kerana perlawanan itu," katanya.

Dalam pentas akhir itu, Zairul merupakan salah seorang pemain yang diturunkan Karathu dengan dia beraksi sepanjang 90 minit permainan.

Keputusan untuk meletakkannya dilihat cukup bermakna memandangkan dia memainkan peranan cukup penting dalam musim kegemilangan Kelantan FA ketika itu.

Kekalahan kepada skuad Sang Penyu itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat skuad TRW apabila mereka bangkit untuk memenanginya buat dua edisi berturut-turut selepas itu.

Zairul, atau lebih dikenali sebagai Roypy turut merasai kejayaan sukar dilupakan tersebut apabila dia beraksi dalam kedua-dua aksi final berkenaan.

Sepanjang kariernya, pemain itu menikmati pelbagai pencapaian menakjubkan dengan dia juga salah seorang pemain ketika Kedah FA meraih gelaran 'double treble' pada 2007 dan 2008.

Selepas beraksi untuk beberapa kelab kecil tanah air, Roypy akhirnya menamatkan tahun-tahun permainannya dengan dia kini difahamkan bergiat aktif dalam bidang perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram