Ulsan tangguh 'celebration' juara Liga Korea, tonik tambahan benam JDT


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain Ulsan Hyundai dalam persediaan menghadapi JDT pada Selasa. — Faecbook/Ulsanhyundaifc

MESKIPUN sudah bergelar juara dalam saingan Liga Korea musim ini, Ulsan Hyundai bagaimanapun mahu memberi fokus terhadap perlawanan berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24.

Ulsan mengesahkan kejuaraan Liga Korea pada 29 Oktober meskipun masih mempunyai tiga baki perlawanan lagi.

Ketua Jurulatih Ulsan, Hong Myung-bo berkata, sambutan telah ditangguhkan kerana mereka perlu fokus kepada perlawanan berdepan JDT yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Di sebalik kejayaan menewaskan Harimau Selatan 3-1 pada perlawanan sebelumnya dan turut mengekalkan kejuaraan domestik yang dimenangi tahun lalu, Myung-bo tidak mengambil mudah peluang pasukannya.

“Anak-anak buah saya tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Kami telah mengesahkan gelaran Liga K tetapi kami belum meraikannya lagi kerana mereka perlu memberi tumpuan berdepan JDT.

“Ya, kami memenangi perlawanan sebelum ini menentang JDT, tetapi kali ini, cabarannya berbeza. Kami akan bermain di stadium yang berkualiti. Kami tahu bagaimana keadaannya. Musim lalu, kami pernah bermain di sana dua kali, jadi kami tahu.

“JDT pasti akan kembali lebih kuat tetapi anak buah kendalian saya akan bersedia. Ramai yang mengatakan cuaca boleh menjadi faktor juga, tetapi terdapat musim panas di Korea Selatan juga.

"Jadi, kelembapan dan alam sekitar bukanlah satu isu bagi kami," katanya.

Bekas kapten Korea Selatan itu mahu pasukannya fokus untuk mara ke pusingan 16 terakhir perlawanan dan mengetahui dengan menewaskan JDT akan memudahkan mereka.

Sementara itu, penyerang Kim Ji-hyun berkata, pasukan itu juga bersedia dari segi psikologi untuk menghadapi Harimau Selatan selepas pernah tewas 1-2 di SSI musim lalu.

“Kami hanya perlu mengawal permainan dari awal. Kami sedar betapa bersemangatnya penyokong di rumah tetapi kami sudah bersedia.

Kami berada dalam prestasi yang baik terutama selepas mengesahkan kemenangan di Liga K," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram