Fans Ulsan tak puas hati kualiti padang latihan, anggap tak ubah macam kebun


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain Harimau Selatan dalam persediaan menghadapi Ulsan pada Selasa. — Majoriti

DENDAM terhadap Johor Darul Takzim musim lalu berjaya dilunaskan Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan ketiga Kumpulan I di Stadium Ulsan Munsu di Korea Selatan pada 24 Oktober lalu.

Dalam perlawanan itu, Harimau Selatan terpaksa menelan keputusan pahit selepas gagal membawa tiga mata penuh pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, menjelang pertemuan sekali lagi kedua-dua pasukan pada Selasa, JDT yang berada dalam momentum terbaik ketika ini pastinya berhasrat memburu tiga mata penuh apa lagi berkelebihan bermain di laman sendiri.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 11.23.53

Bergson da Silva antara penyerang yang bakal membantu Harimau Selatan menewaskan Ulsan. — Instagram/officialjohor

Cuma kali ini, penyokong Ulsan nampaknya tidak berpuas hati dengan tempat latihan pasukan mereka sebelum bertemu JDT.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, malaysianfootballleague berkongsikan bahawa media Korea tidak berpuas hati apabila pasukan Ulsan dikatakan hanya berlatih di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor.

Sebelum ini, ketika pertemuan musim lepas, pasukan Ulsan pernah meluahkan rasa tidak puas apabila tidak diberi peluang berlatih di SSI kerana mengganggap gelanggang keramat JDT itu lebih berkualiti.

Berikutan perkara itu, Ulsan terpaksa menerima kekalahan selepas tewas 1-2 di tangan JDT.

Enggan menerima nasib yang sama musim ini, terdapat beberapa penyokong pasukan yang berpangkalan di Korea Selatan itu meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

"Kenapa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi kita pihak lawan seperti ini?

"Ulsan Hyundai berlatih di atas kebun?," kata penyokong di media sosial.

Sebelum ini, JDT pernah melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul kelab negara pertama yang melayakkan diri ke pusingan kedua ACL, selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di laman sendiri pada 30 April 2022.

Untuk perlawanan seterusnya, Ulsan akan berhadapan dengan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram