PADA Isnin, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah menyenaraikan 25 nama untuk dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Krgyz dan Chinese Taipei.
Dalam panggilan kali ini, Pan-gon mengekalkan sebahagian besar nama daripada skuad Pestabola Merdeka sebelum ini dengan hanya lima muka baharu dipanggil.
Antara wajah baharu yang dipanggil ialah penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel, pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Afiq Fazail, Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh.
Bagaimanapun, menarik perhatian peminat tanah air, nama penyerang Harimau Selatan, Safawi Rasid juga antara nama yang dikekalkan dalam panggilan Pan-gon kali ini.
Dengan pengumuman yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), rata-rata penyokong tanah air tidak berpuas hati apabila bekas pemain Ratchaburi itu berada dalam panggilan kali ni berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan ketika kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu.
Dalam pada itu, nama penyerang JDT, Syafiq Ahmad menjadi pilihan peminat tempatan kerana berasakan pemain berusia 28 tahun itu lebih layak berada dalam skuad kebangsaan.
Syafiq mencetak dua gol ketika membantu JDT membenam Perak FC dalam saingan Piala Malaysia 2023. — Facebook/JDT
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa Syafiq perlu berada dalam skuad Harimau Malaya.
1. Safawi kurang beraksi
Safawi Rasid antara nama penyerang yang pernah terkenal dengan kelincahannya suatu ketika dahulu.
Namun, ketajamannya di depan pintu gol jelas terlihat apabila pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu bergelut untuk mencetak gol dalam beberapa perlawanan antarabangsa sebelum ini.
Malah, dalam perlawanan itu, Safawi jelas bergelut dengan prestasinya apabila gagal menampilkan persembahan yang mampu memukau penonton.
Bukan itu sahaja, kekurangan minit permainan antara punca lain pemain berusia 26 tahun dilihat sukar untuk mengawal bola dengan baik.
2. Harimau Malaya perlukan penyerang
Posisi penyerang amat penting dalam sebuah pasukan bola sepak.
Meskipun Harimau Malaya memiliki beberapa penyerang, namun dalam beberapa perlawanan antarabangsa tahun ini, Pan-gon jelas bergelut dengan kekurangan pilihan untuk posisi penyerang sehingga terpaksa memberikan peranan itu kepada pemain kurang sesuai.
Melihat kepada situasi tersebut, kehadiran Syafiq Ahmad pastinya akan lebih menguatkan pasukan kebangsaan apabila tampil menjadi watak utama menjaringkan dua gol untuk membantu Johor Darul Takzim (JDT) membenam Perak FC 8-1 di laman sendiri.
Kedua-dua jaringan jelas membuktikan bahawa pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu masih mempunyai deria penyudah cukup baik.
3. Aksi konsisten
Syafiq pernah dipuji oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dengan menyifatkan bahawa dia merupakan seorang pemain yang akan memberikan segalanya buat pasukan yang diwakilinya.
TMJ menyifatkan dia adalah seorang pemain yang memberikan segala-galanya 100 peratus dari segi pressing, effort, fight, kualiti dan intelligent, jelas ciri-ciri pemain yang perlu ada dalam Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, TMJ juga memberi harapan sekiranya Syafiq dibawa masuk sebagai penyerang untuk skuad kebangsaan pastinya dia tidak akan mengecewakan pasukan yang diwakilinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram