Christine lega tunaikan janji, tetap setia bersama Perak Phoenix


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Sebahagian aksi ketika Perak Phoenix menentang Johor Jewels. — Facebook/NSL

SAINGAN Netball Super League (NSL) 2023 menutup tirai dengan skuad bimbingan, Tracey Robinson, Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan liga yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Johor Jewels yang memegang gelaran juara kali kedua itu berjaya menewaskan Kuala Lumpur Wildcats dengan keputusan 47-43 dalam aksi final yang cukup sengit itu.

Kejohanan yang berlangsung selama empat minggu itu menyaksikan lapan buah pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips termasuk dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 19.18.13 (1)

Sebahagian aksi menarik Christine ketika membuat percubaan untuk menjaringkan gol buat Perak Phoenix. — Facebook/NSL

Menarik mengenai perlawanan musim ini, NSL dimeriahkan lagi dengan kehadiran 11 import baharu antaranya pemain kelahiran Afrika, Namulumba Christine Kango yang menyertai Perak Phoenix.

Meskipun pasukannya berada di tempat ketiga dalam kejohanan itu, import Afrika, Christine bagaimanapun amat berbangga dengan pencapaian tersebut.

Malah, dia turut mengotakan janjinya untuk menjadi pemenang bagi kategori Penjaring Terbaik NSL 2023.

"Saya sangat gembira berada dalam kejohanan NSL di Malaysia. Bagi saya, jika sudah memulakan sesuatu yang baru, kita mesti melakukan perkara itu dengan bersungguh-sungguh.

"Begitu juga dengan saya, saya dinobatkan sebagai Penjaring Terbaik kerana ia adalah target yang saya perlu capai.

"Dan saya sudah membuktikan perkara itu dalam kejohanan NSL.

"Kerana sebelum ini, saya pernah berkata bahawa akan menjadi penjaring terbaik untuk NSL apabila tiba awal tahun ini di Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Christine yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Perak Phoenix berkata, khidmatnya masih diperlukan oleh pasukan Utara tanah air itu untuk musim depan.

"Untuk musim depan, saya masih kekal bersama Perak Phoenix," ujarnya.

Tambahnya lagi, penyokong di Malaysia sangat baik dan tidak henti-henti memberikan sokongan kepada pasukannya itu.

"Vibe di Malaysia sangat baik dan saya sangat menyukainya, para penyokong tidak henti-henti memberi sokongan kepada kami," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram