Tomi yakin mampu benam Stallions tanpa kehadiran 3 tonggak Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

Barisan pemain Terengganu pastinya mahu membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi Piala AFC 2023. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) gah mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2023 setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan agregat 4-2.

Dengan kemenangan itu, sudah tentu Sang Penyu berada dalam momentum terbaik untuk meraih tiga mata penuh dalam aksi Piala AFC 2023.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dijadual berdepan wakil kelab Filipina, Stallion Laguna FC dalam perlawanan keempat Kumpulan G yang berlangsung pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-11-07 at 19.40.29

Pengendali TFC, Steinbruckner yakin dengan anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan.

Dalam pada itu, Tomislav berharap agar pasukan kendaliannya dapat menampilkan aksi persembahan yang baik di tempat lawan nanti meskipun ia perlawanan yang sukar.

"Saya berharap agar mereka bermain dengan baik dan meraih poin dalam perlawanan nanti.

"Ia adalah tugas yang sukar tapi saya percaya kepada pasukan dan jika kami mahu ke peringkat seterusnya, kami perlu mendapatkan tiga mata penuh," katanya.

Malah, pengendali kelahiran Croatia itu turut berdepan masalah kerana ketiadaan beberapa tonggak utama berikutan mengalami kecederaan.

"Tentunya kami akan mengalami sedikit kesukaran kerana beberapa pemain kami cedera tapi saya percaya dengan pemain yang sedia ada," ujarnya.

Di samping itu, Steinbruckner juga berharap agar rekod tanpa kalah yang dicipta dalam saingan Piala AFC tidak tercalar selepas berjaya menewaskan wakil kelab Australia, Central Coast Mariners selain meraih keputusan seri berdepan Bali United.

“Kita tahu dalam perlawanan pertama, kita berjaya mengalahkan pasukan Australia. Tapi saya tahu kualiti yang dimiliki pasukan mereka.

“Kita berada pada kedudukan baik dan kita masih lagi kekal tanpa kalah. Jadi, kita berharap kita dapat lanjutkan lagi rekod dan rebut peluang itu,” katanya.

Untuk rekod, pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, Stallion Lagune mengikat Sang Penyu 2-2 sekali gus menyaksikan TFC kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan mengumpul lima mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram