Lepas 'disindir' De Gea, Bruno Fernandes dikhabar reunion dengan Ronaldo di Liga Arab


  • Podium
  • Selasa, 07 Nov 2023

Sejak sertai MU pada musim 2020, Fernandes sudah tampil dalam 200 perlawanan buat Red Devils, menjaringkan 67 gol dan 57 hantaran gol. — Agensi 

MANCHESTER United bertambah lumpuh selepas khidmat ketua pasukannya, Bruno Fernandes dikhabarkan menjadi sasaran utama beberapa kelab Arab Saudi menjelang jendela perpindahan musim panas nanti.

Berdasarkan laporan dari Manchester Evening News memetik laporan wartawan sukan Dello TV Sport, Rudy Galletti menyatakan bahawa Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi mengintai peluang untuk memuktamadkan perjanjian dengan pemain tengah Portugal itu.

PIF bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak terutamanya dalam saingan Liga Arab dan antara pasukan dibawah naungan organisasi tersebut ialah Al-Nassr, Al-Ittihad, Al-Ahli dan Al-Hilal.

Selain itu, PIF juga melibatkan diri dalam industri sukan Eropah apabila merupakan pemilik saham majoriti kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Newcastle United.

Laporan dari Galleti juga memberitahu bahawa wakil PIF dijangka mengadakan rundingan dengan wakil bekas pemain pemain Sporting Lisbon itu mengenai potensi untuk mengadakan rundingan lanjut selepas ini.

Sekiranya, Fernandes memilih untuk ke Liga Arab pada jendela perpindahan musim panas nanti, tonggak tengah itu secara tidak langsung mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Christiano Ronaldo yang kini bersama Al-Nassr.

WhatsApp Image 2023-11-07 at 12.34.47

Tangkap layar komen De Gea di hantaran Fernandes.

Dalam perkembangan berbeza, Fernandes sebelum ini menerima banyak kritikan termasuklah daripada Roy Keane, yang mendakwa bahawa pemain Portugal itu harus dilucutkan daripada lilitan kapten.

Bagaimanapun, Fernandes menjawab semua kritikan itu dengan kemenangan pada masa kecederaan di Craven Cottage ketika United menang dengan kemenangan 1-0 menentang Fulham.

Rentetan kritikan daripada orang ramai, bekas penjaga gol United, David De Gea yang dikaitkan dengan kepulangan ke kelab itu kemudian menunjukkan sokongannya kepada bekas rakan sepasukannya.

“Anda bukan kapten yang sebenar” komennya secara sarkastik sambil memuat naik emoji mulut berzip, dipercayai troll semula pendapat Keane bahawa Fernandes patut digugurkan daripada menjadi ketua pasukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram