Ten Hag dikecam ‘tembak’ Rashford berparti lepas kalah dengan City


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Rashford gagal memberi impak ketika perlawanan bertemu Manchester City. — Agensi

PADA masa sekarang, adalah menyeksakan untuk menjadi seorang penyokong Manchester United bukan?

Sudahlah di padang sering dikalahkan, di luar padang ada saja isu yang datang dekat kelab ini.

Terkini, pengurus Erik ten Hag secara terbuka membidas pemainnya iaitu Marcus Rashford kerana tingkah lakunya selepas kekalahan kepada Manchester City.

Ten Hag mengecam tindakan Rashford yang menyambut hari kelahirannya pada Ahad. Pada hemat pengurus tersebut, apa yang Rashford lakukan itu adalah “tidak boleh diterima” walaupun sambutan tersebut sebenarnya sudah dirancang lama.

“Saya ambil maklum mengenainya dan saya sudah bercakap dengannya.

“Ia tidak boleh diterima. Saya sudah beritahu dia begitu dan dia sudah meminta maaf. Itu saja,” kata Ten Hag menerusi BBC Sport.

Walaupun berbuat demikian, Rashford dilaporkan hadir tepat pada waktunya ke sesi latihan United pada Isnin.

393943_0

Haaland cemerlang dengan dua gol ketika membenam United di Old Trafford. — Agensi

Dia juga manusia

Kritikan yang diberikan oleh Ten Hag terhadap Rashford itu dianggap berlebihan oleh penyokong United.

Penyokong United mengerti The Red Devils kini dalam prestasi yang tidak begitu baik, tetapi itu tidak sepatutnya menghalang pemain untuk meraikan hari penting dalam hidup mereka.

“Dia lakukan tugasnya (dan) sambut hari jadinya. Esoknya datang semula ke kerja,” kata penyokong bernama Ria Chapman.

“Pemain bola bukannya seorang sami, hidup mesti diteruskan. Saya tak rasa meraikan hari jadi dan kemudiannya tidak ponteng latihan satu kesalahan berat. Saya pasti Rashford seorang pemain profesional yang berdisiplin dan tahu batasnya,” ujar Cristo F’des.

“Jadi apa masalahnya? Benar mereka kalah, jadi? Benda dah berlaku. Sambutan itu telah dirancang lebih awal dan bukannya selepas perlawanan,” komen Brian Orchard.

Ada penyokong yang berpendapat kerana inilah, suasana di United tidak begitu gembira.

Kerana Ten Hag terlalu tegas, ia buatkan para pemain rasa tidak bersemangat untuk beraksi dengan baik.

“Jadi seorang pemain tidak dibenarkan menyambut hari jadinya jika dia tewas perlawanan bola sepak kerana dia adalah seseorang yang terkenal?,” soal penyokong bernama John Ryan.

“Itu adalah kehidupan peribadinya dan dia boleh lakukan sesuka hatinya. Ia (sambutan hari jadi) itu berlaku selepas perlawanan dan sebelum hari rehat. Ten Hag sudah tersilap langkah,” ujar Adam Wilkes.

“Tidak hairan ramai (pemain) tidak gembira di United. Pemain juga manusia dan Rashford lakukan kerjanya seperti yang dia dibayar. Dia dibenarkan meraikan hari tersebut atas hak peribadinya,” komen Don Haley. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram