SEJAK kebelakangan ini, pelbagai kontroversi timbul berkaitan teknologi video bantuan pengadil (VAR) yang sepatutnya berfungsi membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat dalam dunia bola sepak.
Di samping kesilapan dalam menilai rakaman, penggunaannya juga kerap dikritik kerana sering melengahkan waktu permainan sehingga merencatkan tempo di atas padang.
Isu tersebut bukan sahaja dihadapi di liga-liga ternama seluruh dunia memandangkan masalah sama turut berulang dalam pertandingan megah, seperti Piala Dunia dan Kejohanan Euro.
Baru-baru ini, teknologi VAR sekali lagi menjadi perhatian dalam aksi La Liga membabitkan Celta Vigo dan Sevilla di Stadium Balaidos, Sepanyol pada Ahad.
É o mellor pic.twitter.com/CoOPvZLAf1
— sergio.fv (@sergiorccv1923) November 4, 2023
Ketika pemain tuan rumah, Anastasios Douvikas dikasari dalam kotak penalti, pengadil perlawanan pada awalnya memberikan sepakan penalti buat mereka.
Namun, setelah perbincangan melibatkan VAR dibuat, penalti buat Celta Vigo kemudiannya ditarik semula dengan alasan pemain Greece itu sengaja merebahkan badannya.
Keputusan pengadil, Alejandro Hernandez itu sememangnya membangkitkan rasa kurang senang buat pasukan kendalian Rafa Benitez yang menganggapnya sebagai tidak adil.
Malah, kapten Celta Vigo, Iago Aspas yang dikeluarkan pada minit ke-69 turut memprotes akan tindakan tersebut sehingga membuatnya menolak skrin VAR di tepi padang dengan objek itu kemudiannya tumbang.
Iago Aspas beraksi untuk beberapa musim bersama Liverpool. — Agensi
Tindakannya itu hampir menyebabkan kecederaan terhadap salah seorang petugas yang berada berhampiran kawasan berkenaan, namun tiada insiden lebih teruk dilaporkan.
Isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu apabila sebelum ini, bekas penyerang Manchester United, Edinson Cavani juga pernah bertindak luar kawalan apabila menumbuk skrin VAR ketika aksi antara Uruguay dan Ghana.
Sehingga kini, tiada perkhabaran mengatakan bekas pemain Liverpool itu bakal didenda atas kelakuannya berkenaan dengan isu tersebut masih disiasat La Liga.
Jaringan Youssef En-Nesyri pada minit ke-84 menyaksikan Sevilla berhasil mengutip satu mata selepas Celta Vigo pada awalnya menjaringkan gol menerusi Carl Starfelt pada babak pertama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram