Ulsan Hyundai datang ke SSI dengan motivasi tinggi selepas berjaya pertahan gelaran K-League


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Ulsan Hyundai sah menjadi juara K-League selepas menewaskan Daegu FC.

MOTIVASI berada pada tahap tertinggi pada masa ini buat jaguh Korea Selatan, Ulsan Hyundai menjelang pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT) untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.

Memasuki separuh perjalanan peringkat kumpulan, Ulsan turun ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan semangat tinggi selepas berjaya mengesahkan kejuaraan K-League musim ini.

Kemenangan ke atas Daegu FC pada Ahad telah mengesahkan kejuaraan Ulsan di K-League apabila berjaya mencipta jurang 10 mata di depan pencabar terdekat iaitu Pohang Steelers.

Lebih manis, kejayaan itu berjaya disahkan lebih awal apabila Ulsan masih mempunyai tiga perlawanan liga untuk dihabiskan. Ini juga bermakna mereka berjaya mempertahankan kejuaraan liga buat pertama kali dalam sejarah kelab selepas meraih gelaran sama musim lalu.

Dengan berjaya mengesahkan kejuaraan lebih awal, fokus mereka boleh tertumpu kepada saingan ACL. Kini sedang menduduki tangga kedua peringkat kumpulan, satu lagi kemenangan boleh mendekatkan Ulsan dengan pusingan kalah mati.

Lebih menarik, Ulsan pastinya berselera untuk mencapai kemenangan kerana mahu menyamakan kedudukan dari segi rekod pertemuan. Buat masa sekarang, JDT menang dua daripada tiga pertemuan menentang gergasi Korea Selatan itu.

Berjaya mendapatkan kemenangan pada aksi pertama ditambah baru saja ditabal sebagai juara liga, Ulsan kini mempunyai motivasi terbaik bertemu JDT. Mereka pastinya ingin membalas dendam dua kali tewas di SSI dan ingin menghantar Harimau Selatan balik awal daripada ACL.

Skuad Ulsan kini sudah berada di Malaysia untuk mensiapkan diri bertemu JDT. Mereka dilaporkan berada dalam keadaan terbaik dengan wakil Korea Selatan itu dijangka akan menurunkan pasukan terkuat di SSI pada Selasa.

Sementara untuk JDT, mereka turut berada dalam prestasi terbaik selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan membelasah Perak FC 12-2 menerusi agregat.

JDT sudah pasti tidak mahu membiarkan Ulsan menguasai SSI dan membawa pulang tiga mata. Jika kemenangan tidak berhasil diraih, pastinya skuad Esteban Solari mempunyai kesukaran untuk layak ke pusingan seterusnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram