JURULATIH Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah menyenaraikan 25 nama untuk dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 menentang Republik Krgyz dan Chinese Taipei.
Dalam panggilan kali ini, Pan-gon mengekalkan sebahagian besar nama daripada skuad Pestabola Merdeka sebelum ini dengan hanya lima muka baharu dipanggil.
Wajah-wajah baharu dalam skuad Harimau Malaya kali ini adalah penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel serta pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Afiq Fazail.
Sementara pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh turut dipanggil bagi menguatkan cabaran.
Pada masa sama, seperti saranan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, bintang pertahanan kanan JDT, Syahmi Safari juga kembali tersenarai sekali gus ketepikan Quentin Cheng yang sebelum ini dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya ketika Pestabola Merdeka 2023.
Selain Sikh Izhan, Afiq, Sumareh dan Syahmi, pengendali dari Korea Selatan itu juga memanggil Shahrul Saad untuk menguatkan benteng pertahanan negara.
Pan-gon juga menggugurkan beberapa nama seperti Suhaimi Husin, Sergio Aguero, Shamie Iszuan serta Daniel Ting daripada skuad kali ini.
Sementara itu, pemain-pemain Malaysia yang beraksi di luar negara seperti Dion Cools, Junior Eldstal serta Nooa Laine turut dipanggil menguatkan cabaran negara.
Berikut adalah senarai 25 pemain untuk kem latihan pusat Harimau Malaya November ini:
Penjaga gol
- Syihan Hazmi
- Azri Ghani
- Sikh Izhan Nazrel
Pertahanan
- Matthew Davies
- La'Vere Corbin-Ong
- Shahrul Saad
- Syahmi Safari
- Sharul Nazeem
- Azam Azmi
- Junior Eldstal
- Dion Cools
- Dominic Tan
Pemain tengah
- Endrick dos Santos
- Afiq Fazail
- Brendan Gan
- Mukhairi Ajmal
- Stuart Wilkin
- Paulo Josue
- Nooa Laine
Penyerang
- Arif Aiman
- Safawi Rasid
- Akhyar Rashid
- Mohamadou Sumareh
- Faisal Halim
- Darren Lok
Malaysia akan menentang Republik Krygz pada 16 November sebelum bertemu Chinese Taipei ketika 21 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram