SUKAN bola sepak jelas memerlukan kepakaran dari segi taktikal. Selain itu, kemahiran teknikal juga diperlukan untuk menjadi pemisah kepada kekuatan dua pasukan.
Tetapi dalam konteks bola sepak moden, taktikal bukan sekadar terletak pada cara sesebuah pasukan untuk memasuki pintu gol lawan. Malah, ia juga melibatkan tindakan-tindakan licik untuk menewaskan lawan.
Sebagai contoh, pemain akan melakukan simulasi ketika dalam kotak penalti untuk mengelirukan pengadil supaya penalti diberikan. Dalam masa yang sama, pengadil akan menghukum pemain lawan dengan memberikan kad.
Taktik licik ini dilihat jahat apabila dilakukan, tetapi pasukan sanggup lakukan apa sahaja untuk menang.
Begitulah juga dengan apa yang terjadi dalam aksi La Liga melibatkan Real Madrid dengan Rayo Vallecano. Dalam perlawanan yang sengit melibatkan kedua-dua pasukan, apa saja sanggup dilakukan untuk mendapatkan tiga mata.
Penjaga gol Rayo, Stole Dimitrievski telah mengambil satu inisiatif bagi memastikan Real mengalami kesukaran menewaskan mereka apabila cuba membuat bintang Los Blancos, Vinicius Jr dibuang padang.
Ketika bola menghampiri gol Rayo, Dimitrievski pergi untuk menangkapnya sambil Vinicius turut mengejarnya. Bola itu kemudiannya berjaya didakap oleh Dimitrievski.
Namun begitu, Vinicius mendakwa Dimitrievski telah menangkap bola hinggakan ia keluar daripada kawasan permainan lalu mahukan sepakan penjuru diberikan kepada Real. Timbul sedikit pertikaian antara kedua-dua pemain apabila Vinicius mula menghampiri Dimitrievski.
Menyedari Vinicius menyentuhnya, Dimitrievski mengambil kesempatan melakukan simulasi apabila menjatuhkan diri sendiri seperti dalam video yang tular di Twitter (X).
Simulasi itu begitu buruk rupanya hinggakan Vinicius ketawa terbahak-bahak melihat gelagat penjaga gol Rayo tersebut.
Usaha Dimitrievski untuk membuatkan Vinicius dihukum tidak berjaya begitu juga dengan usaha Real membolosi pintu gol Rayo apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Walaupun berkelakuan sedemikian, ia tidak menghalang Dimitrievski untuk dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya mengecewakan penyerang-penyerang Real yang cuba menembusi pintu gol yang dikawalnya.
Keputusan seri tanpa jaringan itu membuatkan Real mengutip 29 mata. Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga iaitu Girona yang mengumpul 31 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram