Sedar musim suram, Yee Fatt mahu bawa Penang ke final ubati kekecewaan penyokong


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Penang FC ketinggalan 1-2 kepada PDRM selepas aksi separuh akhir pertama Challenge Cup. — Facebook/Penang FC

PENGENDALI Penang FC, Chong Yee Fatt menyedari betapa pentingnya perlawanan separuh akhir kedua Challenge Cup bertemu PDRM FC pada Ahad.

Ketinggalan 1-2 selepas kalah aksi pertama di laman sendiri, Yee Fatt menanggap perlawanan ini perlu dimenangi walaupun sedar PDRM bukan lawan mudah untuk ditumbangkan.

"Kami tiada pilihan selain daripada menang. Kami perlu menang dengan jurang yang selesa kerana kami sudah ketinggalan satu gol.

"Pemain perlu tenang kerana kami perlu jaringkan gol dan ia mesti adalah gol awal," kata Yee Fatt kepada Majoriti.

Yee Fatt sedar PDRM mempunyai kualiti yang berbahaya sebagai satu pasukan terutamanya ketika melakukan serangan. Jadi, tidak hairan jika dia dan Penang mengalami tugas sukar di laman lawan bagi mengekang kemaraan Sang Saka Biru.

385398773_853820226258633_6086330247666997143_n

Chong Yee Fatt benar-benar mahu bawa Penang ke perlawanan akhir Challenge Cup. — Facebook/Penang FC

Oleh itu, dia mahu para pemainnya tidak terlalu ghairah dalam mencari jaringan. Benar, mereka perlukan gol tetapi benteng pertahanan tidak boleh dilupakan.

"PDRM merupakan pasukan yang berdisiplin dan kompak ketika bertahan. Mereka kerap melakukan serangan balas pantas sama ketika beraksi di tempat lawan.

"Malah, mereka juga mempunyai persefahaman yang tinggi. Kami tidak boleh terlalu berhati-hati apabila menentang mereka. Kami perlu berikan perhatian ketika bertahan dan tidak terlalu sibuk menyerang," ujar Yee Fatt.

Melihat kepada suramnya musim Harimau Kumbang, Yee Fatt sedar perlawanan separuh akhir kedua ini amat penting buatnya dan pasukan.

Dia menganggap perlawanan ini sebagai aksi terpenting Penang pada musim ini untuk mendapatkan semula kepercayaan penyokong.

"Perlawanan ini sangat penting buat kami, baik untuk barisan kejurulatihan dan juga pemain. Pemain sedar prestasi ketika ini sangat mengecewakan dan penyokong tidak gembira dengannya.

"Ini adalah perlawanan paling penting buat kami musim ini. Harapnya kami dapat layak ke perlawanan akhir kerana penyokong berhak terima yang lebih baik daripada kami," ulas Yee Fatt.

Pemenang antara PDRM dan Penang akan bertemu Kuching City FC di perlawanan akhir Challenge Cup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram