KEKALAHAN Arsenal kepada Newcastle United jelas sekali membangkitkan api kemarahan pengurus The Gunners iaitu Mikel Arteta.
Arteta jelas sekali sukar untuk menerima kekalahan mereka di St James' Park itu selepas mengatakan kualiti pengadilan tidak berada pada tahap terbaik.
Pengendali dari Sepanyol itu merujuk kepada gol Newcastle oleh Anthony Gordon yang dianggap kontroversi kerana sewaktu ia terjadi, pertahanan Gabriel Magalhaes ditolak oleh Joelinton.
"Kami kalah perlawanan hasil daripada keputusan yang jelas dan nyata. Ia memalukan.
"Ia memalukan, dan itulah dia, ia memalukan," kata Arteta selepas perlawanan dengan penuh marah.
Kemarahan Arteta terhadap gol Gordon itu mungkin adalah kemuncak kepada kelemahan mutu pengadilan pada perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan ini juga kelihatan insiden tanpa bola (off-ball incident) yang melibatkan pemain Newcastle, Bruno Guimaraes dengan Jorginho.
Menerusi rakaman yang tular di Twitter (X), kelihatan Guimaraes menyiku kepala Jorginho ketika perlawanan sedang berlangsung.
Insiden tersebut berlaku selepas Jorginho menghantar bola, namun pengadil Stuart Atwell tidak mengendahkannya.
Arteta mengatakan yang perkara ini tidak boleh diteruskan lagi kerana kesilapan yang berlaku sukar untuk diterima.
"Saya sudah berada di negara ini selama lebih 20 tahun dan (situasi) ini tidak langsung dengan kenyataan liga ini dianggap sebagai terbaik di dunia.
"Saya rasa meluat menjadi sebahagian daripada ini, meluat," luah Arteta.
Dengan tewasnya mereka di Tyneside, Arsenal akhirnya menerima kekalahan pertama dalam saingan liga musim ini.
Hasil daripada gol Gordon ini telah membawa Newcastle ke tangga keenam English Premier League dengan mengumpul 20 mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram