LEGENDA bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar kini semakin menonjolkan bakatnya sebagai ahli politik selepas menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC serta skuad Harimau Malaya ini kini menjadi Adun bagi kawasan Gurun selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Ogos lalu.
Setelah beberapa bulan dalam bidang politik, Baddrol dilihat semakin membiasakan diri dengan kerjaya baharunya. Malah, dia mula kelihatan memberikan pengaruh dalam pentadbiran negeri Kedah.
Baddrol ada memuat naik siaran di laman Instagramnya dengan bekas pemain yang diberi gelaran The Sniper ini bertemu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Baddrol, perjumpaan tersebut diadakan dengan tujuan membincangkan hal berkenaan projek kerajaan negeri berkenaan The Greater Kedah.
"Perjumpaan bersama Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor tengah hari tadi (Ahad). Perbincangan tentang hala tuju The Greater Kedah di Wisma Darul Aman," tulis Baddrol dalam siarannya.
The Greater Kedah merupakan projek oleh kerajaan negeri yang menfokuskan pembangunan ekonomi supaya menjadikan Kedah sebuah negeri Utara yang maju setanding jiran mereka iaitu Pulau Pinang.
The Greater Kedah menjadi topik utama pertemuan Baddrol dan Sanusi. — Instagram/@bakhtiarbaddrol
Pertemuan antara Baddrol dan Sanusi ini pastinya menarik perhatian kerana pengaruhnya sebagai bekas pemain bola sepak.
Baddrol tidak menyatakan secara mendalam intipati pertemuannya bersama-sama Sanusi. Tetapi melihat kepada kapasitinya sebagai pemain bola sepak, ada kemungkinan perkara melibatkan pembangunan belia dan sukan dibincangkan.
Pada 2022, Sanusi pernah berkata yang Kedah bakal mempunyai stadium bertaraf tinggi seperti Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Takzim di Iskandar Puteri.
Pembangunan stadium tersebut dicadangkan di Sungai Petani berdekat dengan kawasan litar lumba yang turut menjadi projek kerajaan negeri.
Berkemungkinan Baddrol dan Sanusi membincangkan berkenaan perkara tersebut bagi merealisasikan impian Kedah bangkit mencabar kuasa bola sepak Malaysia.
Satu lagi perkara yang boleh dijadikan tajuk perbincangan adalah situasi semasa KDA ketika ini yang terpalit dengan isu tunggakan gaji.
Situasi yang berlaku melibatkan skuad Sang Kenari ini cukup merisaukan kerana berkemungkinan akan merencatkan perancangan pasukan untuk musim hadapan.
Seandainya masalah kewangan melibatkan KDA berterusan, dilihat akan ada beberapa pemain utama keluar berhijrah ke kelab lain. Ini boleh membuatkan KDA semakin tumpul dan kurang mencabar untuk saingan Liga Super musim akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram